Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan makmal memproses heroin selepas menahan empat lelaki serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.87 juta, dalam siri serbuan di negeri itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin, berkata bertindak atas maklumat dan risikan dijalankan, polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri bersama JSJN Bukit Aman melancarkan operasi terancang bermula jam 9 malam Jumaat lalu hingga kelmarin dan menyerbu enam lokasi di daerah Timur Laut dan Barat Daya.

“Dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki berumur 27 tahun yang juga dalang utama, di tepi jalan di kawasan Tanjung Tokong di sini pada jam 9 malam (Jumaat) dan merampas pelbagai jenis dadah dalam keretanya.

“Polis kemudian menahan seorang lagi lelaki di kawasan Gelugor pada jam 12.20 tengah malam dan dua lagi lelaki masing-masing berusia 28 dan 33 tahun di Lebuh Sungai Pinang pada jam 1 pagi.

“Susulan penahanan tiga lelaki itu, kami merampas pelbagai jenis heroin dan syabu disimpan dalam kereta di kawasan parkir tidak jauh dari tempat mereka ditahan. Modus operandi mereka ialah meninggalkan kereta mengandungi dadah sebelum pembeli datang mengambilnya tanpa kehadiran suspek,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Kok Chin berkata, berpandukan arah daripada suspek yang ditahan, polis kemudian menyerbu sebuah banglo dua tingkat di kawasan Teluk Kumbar, dekat sini pada jam 7.15 malam Sabtu dan membongkar makmal memproses heroin di situ.

Beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai menyewa rumah itu yang dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa dan mereka dipercayai menjalankan kegiatan memproses serta mengedar dadah sejak awal tahun ini.

“Polis terus menyerbu dua lagi lokasi semalam dan berdasarkan siasatan awal, sindiket itu mendapatkan bekalan dadah dari luar negara serta memprosesnya di rumah berkenaan sebelum menjualnya kepada pembeli untuk pasaran tempatan sehingga mampu mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit setiap bulan.

“Empat lelaki ditahan itu berperanan mengedar dadah, manakala beberapa lagi suspek dipercayai mempunyai kepakaran memasak heroin yang masih bebas dan kini polis giat mengesan mereka.

“Sindiket itu mempunyai rangkaian di luar negara dan beberapa negeri lain,” katanya.

Kok Chin berkata, dalam siri serbuan itu, polis merampas heroin seberat 23,380 gram (g), heroin base (18,400g), syabu (1,507g), kafein sebanyak 94,400g dan pelbagai bahan kimia digunakan untuk memproses heroin yang semuanya boleh digunakan oleh 1.22 juta penagih.

Susulan penahanan mereka, beliau berkata, polis turut menyita enam kereta, wang tunai, barangan kemas dan dua motosikal yang semuanya bernilai RM191,595, serta merampas tiga kereta mengandungi dadah.

“Seorang daripada lelaki ditahan itu mempunyai syarikat pembersihan, manakala tiga yang lain adalah penganggur.

“Dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, semua mereka direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.– BERNAMA