Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,229 syarikat menyertai Program Akademi Dalam Industri (ADI) Perantisan Berinsentif setakat Ogos 2026, untuk membantu meningkatkan penyerapan graduan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) ke dalam sektor pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, berkata program di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) itu bertujuan memperkukuh kerjasama antara pusat latihan dengan industri.

“Bagi menggalakkan majikan sektor swasta untuk terus menggajikan graduan TVET tempatan dan memastikan ekosistem latihan sejajar dengan keperluan perubahan pantas industri, Kerajaan terus memperkasakan kerjasama antara pusat latihan dan industri melalui Program ADI Perantisan Berinsentif di bawah JPK.

“Program itu menyediakan struktur sokongan kewangan yang menyasarkan kesemua pemegang taruh ekosistem latihan iaitu berbentuk insentif bulanan sebanyak RM200 kepada syarikat, RM500 kepada perantis, serta RM300 kepada pusat latihan,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Hishammuddin Hussien (BN-Sembrong) mengenai insentif khas untuk menggalakkan majikan swasta menggaji graduan TVET tempatan, serta pelan penstrukturan gaji permulaan bagi mengelakkan penghijrahan bakat.

Ramanan berkata, kerajaan turut melaksanakan Program Place and Train menerusi Jabatan Tenaga Manusia (JTM) bagi menggalakkan majikan mengambil dan melatih graduan TVET tempatan sebelum menyerap mereka ke dalam pekerjaan tetap di sektor swasta.

“Setakat 31 Oktober 2026 sahaja, JTM melaksanakan sebanyak 69 program Place and Train membabitkan 569 peserta untuk membantu meningkatkan kesepadanan antara latihan dengan keperluan industri serta memberi laluan pekerjaan yang lebih jelas kepada graduan,” katanya.

Beliau berkata, bagi memperkukuh laluan kerjaya dan pendapatan pekerja, Kementerian Sumber Manusia turut memperkenalkan Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM) susulan pindaan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 pada 2025.

“SKMM membolehkan kemahiran diiktiraf secara modular dan berperingkat, sekali gus memberi peluang kepada pekerja meningkatkan kelayakan tanpa perlu meninggalkan pekerjaan sedia ada.

“Pengiktirafan kemahiran ini diharapkan disusuli dengan ganjaran yang setimpal supaya peningkatan kemahiran turut membawa kepada peningkatan pendapatan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan sedang menyediakan Panduan Gaji Permulaan RM2,500 bagi graduan dan pekerjaan separuh mahir, termasuk pendekatan serta mekanisme pelaksanaannya berasaskan kemahiran dan Dasar Gaji Progresif (DGP).

“Ini bagi menggalakkan peningkatan gaji selaras dengan kemahiran dan produktiviti, sekali gus membantu mengekalkan bakat TVET tempatan dan mengurangkan berlakunya penghijrahan bakat (brain drain).”katanya. -BH Online