KUALA LUMPUR: Sebanyak 192,869 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian RM7.33 bilion direkodkan sejak 2023 hingga Oktober lalu.
Seramai 75,266 individu turut ditahan dan 69,665 pertuduhan dilakukan dalam tempoh berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 56,802 kes direkodkan dengan kerugian RM1.56 bilion.
Dalam tempoh sama, katanya, seramai 20,842 individu ditahan manakala 17,985 kertas siasatan membawa kepada pertuduhan membabitkan 18,369 individu.
“Data ini menunjukkan trend jenayah penipuan dalam talian semakin meningkat,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ganabatirau A/L Veraman (PH-Klang) yang meminta perkembangan terkini usaha membanteras penipuan dalam talian dan akaun keldai, termasuk jumlah kerugian rakyat sejak 2023.
Saifuddin Nasution berkata, penggunaan akaun keldai menjadi antara elemen penting yang membolehkan sindiket penipuan beroperasi.
Bagi tempoh 2023 hingga Oktober 2026, katanya, sebanyak 254,546 akaun keldai dikesan dan 137,699 akaun didakwa.
Beliau berkata, enam corak penipuan dalam talian dikesan iaitu jenayah telekomunikasi, jenayah e-kewangan, penipuan cinta, jenayah e-dagang, pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud.
“Dari segi profil mangsa, golongan wanita lebih ramai menjadi mangsa berbanding lelaki.
“Bagi setiap 10 mangsa, enam orang ialah wanita manakala empat lagi lelaki.
“Dari segi profil pekerjaan, kebanyakan mangsa bekerja dalam sektor swasta.
“Bagaimanapun, kesalahan membenarkan akaun bank digunakan sebagai akaun keldai turut banyak membabitkan golongan pelajar.
“Sindiket tidak dapat beroperasi sekiranya tidak mempunyai akaun keldai,” katanya.
Mengulas usaha meningkatkan kesedaran masyarakat, Saifuddin Nasution berkata, kementerian mempergiat program penerangan dan langkah itu menunjukkan keberhasilan.
Sebelum Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dan talian 997 diperkenalkan, pihaknya menerima kira-kira 300 hingga 400 panggilan sehari.
“Pada Oktober kita merekodkan sehingga 30,000 panggilan. Ini bermakna secara purata, kira-kira 1,000 panggilan diterima setiap hari.
“Hasil penerangan berterusan, kesedaran masyarakat semakin meningkat.
“Sebaik menyedari menjadi mangsa, mereka segera menghubungi talian 997 atau NSRC.
“Amalan kini ialah mengadakan kerjasama erat dengan Interpol.
“Kedua ialah memperkukuh kerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI),” katanya.
Di peringkat ASEAN, katanya, Malaysia mempunyai Program Kerjasama ASEAN bagi Menangani Jenayah Siber yang membolehkan pertukaran maklumat, perkongsian risikan dan pelaksanaan operasi bersama sekiranya diperlukan,” katanya. -BH Online
