PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu sekolah melaksanakan inisiatif memastikan murid membaca sekurang-kurangnya dua judul buku sepanjang cuti akhir tahun, bagi memupuk budaya membaca dalam kalangan generasi muda.
Perdana Menteri berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memastikan peringatan diberi kepada semua guru, pengetua dan guru besar supaya inisiatif berkenaan dapat dilaksanakan sepanjang tempoh cuti persekolahan.
Katanya, murid perlu diberi judul buku wajib dibaca sebagai pengisian bermanfaat sepanjang tempoh cuti, sekali gus memastikan budaya membaca terus dipupuk meskipun tidak berada di sekolah.
“Bulan Disember cuti. Saya nak minta Menteri (Pendidikan), Ketua Pengarah (Pendidikan), pastikan peringatan kepada semua guru dan pengetua dan guru besar.
“Bukan tak perlu bagi tugasan, kerja rumah, biar anak-anak cuti tetapi pastikan kalau cuti satu setengah bulan, anak-anak mesti diberi judul buku wajib dibaca,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran Prakarsa AI Pendidikan Negara di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek; Timbalannya, Wong Kah Woh dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad.
Anwar turut meminta ibu bapa berperanan memastikan anak masing-masing melaksanakan tugasan membaca sepanjang cuti persekolahan.
Katanya, penguasaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) tidak seharusnya menyebabkan budaya membaca dalam kalangan murid terpinggir.
“AI ini bukan untuk kita kuasai dan merasakan dengan satu minit, setengah minit menguasai semua, tidak.
“Budaya membaca mesti kita hidupkan,” katanya.
Beliau berkata, budaya membaca perlu terus diperkukuh supaya penguasaan teknologi dan ilmu baharu berjalan seiring pembentukan akal budi serta keperibadian generasi muda. -BH Online

