Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BALI, INDONESIA – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah meneruskan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia menerusi kerjasama strategik dalam bidang pembangunan luar bandar dan pemerkasaan ekonomi desa.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis makan malam bersama Wakil Menteri Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Republik Indonesia, Bapak Ir. H. Ahmad Riza Patria, Sekretaris Daerah Provinsi Bali, Drs. Dewa Made Indra serta delegasi Malaysia sempena lawatan kerja beliau ke Bali.

Menurut Zahid, lawatan berkenaan merupakan kesinambungan kepada pertemuan bersama Menteri Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Republik Indonesia pada 17 September lalu yang menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Pembangunan Luar Bandar antara Malaysia dan Indonesia.h

Katanya, tumpuan utama lawatan kali ini adalah untuk menterjemahkan persefahaman tersebut kepada pelaksanaan kerjasama yang lebih praktikal dan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat desa kedua-dua negara.

Antara inisiatif yang bakal diperincikan ialah cadangan Program Desa Berkembar atau Sister Village yang membuka peluang kepada komuniti desa Malaysia dan Indonesia untuk berkongsi kepakaran, membangunkan produk, memperluas jaringan perniagaan serta meningkatkan akses pasaran bagi usahawan dan koperasi desa.

Zahid turut memaklumkan bahawa beliau dijadual mengadakan pertemuan dua hala bersama Kementerian Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Republik Indonesia bagi membincangkan langkah susulan pelaksanaan MoU, termasuk usaha memperkukuh koperasi dan keusahawanan desa.

Beliau berharap kerjasama berkenaan dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada masyarakat desa, khususnya menerusi peningkatan pendapatan, peluasan pasaran, pembangunan modal insan serta pemerkasaan komuniti secara menyeluruh.

Usaha itu juga mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Indonesia untuk memperkukuh hubungan kerjasama serantau, khususnya dalam agenda pembangunan luar bandar yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.