Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, mencadangkan lima fakulti komunikasi di lima universiti awam, bergabung membentuk satu gabungan mahasiswa komunikasi untuk merancang dan melaksanakan pelbagai program berkaitan bidang itu.

Lima universiti berkenaan ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sebagai galakan kepada penubuhan gabungan itu, Fahmi mengumumkan sumbangan RM50,000 bagi membantu pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti yang bakal dirancang oleh gabungan terbabit.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Kebangsaan Mahasiswa Komunikasi dan Media (COMMNATCON) 2026 di UiTM, beliau berkata, gabungan kelab mahasiswa daripada jurusan atau fakulti komunikasi massa itu, adalah inisiatif positif dalam menghimpunkan mahasiswa daripada universiti awam.

“Saya mengalu-alukan pembentukan gabungan kelab mahasiswa daripada jurusan atau fakulti komunikasi massa.

“Saya difahamkan ada lima universiti yang hadir dan sebagai galakan mereka merencana beberapa program ke depan, saya mengumumkan sumbangan RM50,000 kepada gabungan,” katanya di sini, hari ini.

Fahmi berkata, gabungan itu diharap dapat diperluas kepada semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain dan seterusnya institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang menawarkan bidang komunikasi massa.

Beliau turut merancang mengadakan siri jelajah libat urus di lima universiti berkenaan bagi mendengar pandangan mahasiswa mengenai isu dan cabaran dihadapi, khususnya berkaitan masa hadapan industri komunikasi dalam era kecerdasan buatan (AI).

Fahmi berkata, perkara itu penting, memandangkan mahasiswa sering membangkitkan persoalan mengenai kesan penggunaan AI terhadap bidang kewartawanan, termasuk masa depan kerjaya dan peluang pekerjaan dalam industri berkenaan.

“Sebagai jurucakap kerajaan, saya juga jurudengar kerajaan. Kita perlu lebih kerap hadir ke universiti untuk mendengar pandangan mahasiswa.

“Saya bukan sekadar mahu mendengar, tetapi juga menyampaikan usaha kerajaan, terutama dalam melindungi pekerjaan wartawan serta masa depan bidang kewartawanan dan komunikasi massa dengan perkembangan AI,” katanya.

Terdahulu, Fahmi menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan video “Malaysia Kita, Cerita Kita” anjuran Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat), dengan kerjasama Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM bagi meningkatkan literasi dan kesejahteraan kewangan mahasiswa.

Dianjurkan bersempena dengan Hari Malaysia 2026, kempen “Malaysia Kita, Cerita Kita” mengajak mahasiswa dari tiga kampus UiTM iaitu Shah Alam, Alor Gajah, Melaka dan Rembau, Negeri Sembilan, menghasilkan video pendek asli yang mentafsirkan semangat Malaysia serta mengilhamkan impak sosial yang positif. 

Muhammad Danial Mohd Adnin daripada Kampus Alor Gajah dinobatkan pemenang tempat pertama menerusi karya “Kita Semua Sama”!

Muhammad Riffqie Iman Mohd Rosle daripada Kampus Rembau menerusi karya “Lat Tali Lat” (kedua) dan Muhammad Amiruddin Mohd Zaiki dan Nur Rasyiqah Aqilah Zainudin daripada Kampus Shah Alam menerusi karya “Peluang” (ketiga).

Hadiah utama merangkumi Dana Tanggungjawab Sosial Korporat sehingga RM10,000, bagi membolehkan pemenang merancang dan melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat, wang tunai berjumlah RM5,000 selain pemenang turut berpeluang menjalani latihan industri bersama dengan Bank Muamalat.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Korporat Bank Muamalat Mohd Nazrul Hafizi Md Jaffar berkata kerjasama dengan UiTM menerusi program pendidikan kewangan dan kempen itu, bertujuan membantu mahasiswa membina asas kewangan yang kukuh, selain menyediakan ruang untuk berkarya dan menyumbang kepada masyarakat. – BERNAMA