KUCHING: Buli siber yang semakin berleluasa, tekanan mengejar kejayaan serta kurang kekuatan rohani dikenal pasti antara punca peningkatan tekanan emosi yang boleh menjurus kepada masalah kesihatan mental dan risiko cubaan membunuh diri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata cabaran mengurus kejayaan bukan hanya membabitkan pembangunan fizikal, sebaliknya turut merangkumi keupayaan individu, keluarga dan masyarakat mengurus tekanan serta tuntutan kehidupan yang semakin meningkat.
Beliau berkata, apabila sesebuah negara, negeri atau individu mencapai kejayaan, jangkaan terhadap pencapaian seterusnya turut meningkat, sekali gus memberi tekanan jika tidak ditangani dengan baik.
Menurutnya, keadaan itu dapat dilihat dalam aspek pendidikan apabila anak-anak berdepan tekanan untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kerana kejayaan akademik sering dikaitkan dengan peluang masa depan.
“Dahulu kita melihat kejadian bunuh diri dalam kalangan orang dewasa, tetapi sekarang dalam kalangan orang muda pun sudah berlaku,” katanya berucap pada Program Kesedaran Keselamatan dan Kesejahteraan Komuniti Kuching di Dewan Auditorium, Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini hari ini.
Fadillah berkata, tekanan berkenaan boleh berpunca daripada pelbagai faktor termasuk buli, kurang pendidikan kerohanian serta pengaruh perkembangan teknologi dan media sosial yang semakin sukar dikawal.
Sehubungan itu, beliau berkata, perhatian kepada bidang psikologi dapat membantu masyarakat mengurus tekanan dan menjaga kesejahteraan mental.
Beliau turut menggalakkan individu yang berdepan tekanan, keresahan atau masalah peribadi mendapatkan bantuan kaunselor, pakar psikologi, psikiatri atau pihak yang mempunyai kemahiran mendengar dan memberi panduan, selain tidak menjadikan media sosial sebagai tempat meluahkan emosi secara tidak terkawal.
Menurutnya lagi, pemimpin masyarakat termasuk Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), penghulu serta jawatankuasa kampung dan taman perumahan perlu memainkan peranan mengenal pasti penduduk yang memerlukan bantuan, selain menganjurkan program berkaitan keselamatan siber, keibubapaan dan kesihatan mental.
Beliau berkata, pendekatan mendidik anak juga perlu disesuaikan dengan perubahan zaman, dengan ibu bapa perlu memahami cabaran semasa serta membina disiplin melalui kaedah pengasuhan yang lebih berkesan.
“Masyarakat juga perlu mengamalkan gaya hidup sihat, bersukan, beriadah dan bergaul dengan persekitaran positif bagi membantu mengurangkan tekanan, selain menggalakkan program kesejahteraan mental, rohani dan fizikal dilaksanakan secara berterusan di peringkat komuniti,” katanya. -BH Online
