KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir membangkitkan kebimbangan terhadap cadangan menurunkan umur pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada 45 tahun kerana langkah berkenaan berpotensi menjejaskan kecukupan simpanan untuk hari tua.
“Kita faham, kos sara hidup memang boleh menekan. Bila keluarkan duit sendiri lebih awal, kita mungkin rasa lega. Tapi tengok dulu jangka hayat rakyat Malaysia.
“Tapi kalau kita keluarkan simpanan pada umur 45, ada 30 tahun lagi yang jangkaan kita perlu ditanggung. Cukupkah?” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau.
Akmal Nasrullah berkata, isu berkenaan memerlukan penelitian teliti bagi mengimbangi keperluan kewangan semasa rakyat dengan jaminan kehidupan selepas persaraan.
Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Ekonomi sedang membangunkan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (NAB) sebagai persediaan menghadapi perubahan demografi negara yang dijangka menyaksikan Malaysia mencapai status negara sangat tua menjelang 2060.
Katanya, rangka tindakan itu akan memberikan tumpuan kepada beberapa aspek utama, termasuk pekerjaan, perlindungan sosial, kesihatan dan penjagaan jangka panjang bagi memastikan negara lebih bersedia menghadapi peningkatan populasi warga emas.
“Keperluan menyediakan rangka tindakan berkenaan semakin mendesak memandangkan Malaysia sedang melalui proses penuaan penduduk yang jauh lebih pantas berbanding beberapa negara maju,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata, Malaysia sudah mencapai status negara menua sejak 2021 dan dijangka menjadi negara tua menjelang 2048 apabila 14 peratus penduduk berumur 65 tahun ke atas.
“Menjelang 2060, Malaysia dijangka mencapai status negara sangat tua apabila kumpulan umur berkenaan merangkumi 20 peratus daripada keseluruhan penduduk.
“Perancis ambil masa 115 tahun untuk melalui peralihan ini. Kita cuma ada 27 tahun. Siapa nak jaga kita yang akan menua nanti? Cukupkah pusat jagaan kita sebagai warga emas, hospital dan penjaga? Cukupkah simpanan kita? Jujurnya, adakah kita cukup bersedia?” katanya.
Akmal Nasrullah berkata, peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia turut menuntut perancangan lebih menyeluruh, khususnya dari segi kecukupan simpanan persaraan dan kemudahan penjagaan warga emas.
Katanya, jangka hayat rakyat Malaysia meningkat daripada sekitar 63 tahun pada 1970-an kepada 72 tahun pada 2000, sebelum mencecah 75.5 tahun ketika ini.
Sementara itu, beliau memaklumkan sudah memberikan taklimat kepada ahli Parlimen mengenai persediaan negara menghadapi cabaran penuaan penduduk.
|Insya-Allah, kita kena bincang banyak kali sebab ini soal masa depan kita semua,” katanya. -BH Online

