Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan (MINDEF) bercadang menubuhkan jawatankuasa khas susulan kes penemuan barang terlarang di Pangkalan Udara Subang serta penahanan tujuh pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sebaik siasatan polis selesai.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jawatankuasa khas itu bagi menyemak dan mengenal pasti sama ada insiden berkenaan adalah kes terpencil atau sudah menjadi budaya.

Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan juga bertanggungjawab menilai semula kelompangan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi memastikan perkara seumpama itu tidak berulang termasuk di pangkalan udara lain.

“Mereka kini ditahan, jadi macam mana kita nak siasat. Selepas itu (siasatan polis), memang kita akan tubuhkan jawatankuasa sebab kita nak semak sama ada ini kes-kes terpencil ataupun ia sudah menjadi budaya.

“Oleh kerana berlaku begini, kita tak tolak kemungkinan aset-aset tentera seperti kapal terbang pengangkut digunakan menjadi alat kepada sindiket ini.

“Saya percaya (sindiket) akan gunakan apa sahaja untuk mencapai matlamat mereka,” katanya pada sidang media selepas Program Hari Apresiasi Kanak-kanak tabika/taska KEMAS Parlimen Kota Tinggi 2026 di Desaru, di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai insiden itu, Mohamed Khaled mengingatkan semua anggota tentera bahawa hukuman bagi kesalahan seumpama itu adalah sangat berat dan tiada perlindungan akan diberikan kepada sesiapa yang melanggar undang-undang.

“Kita tidak berkompromi. Siapa yang berani lakukan, mereka harus faham hukumannya sangat berat, seumur hidup ataupun hukum mati.

“Jadi, berani buat, berani tanggung. Kementerian dan ATM tidak akan melindungi sesiapa yang melakukan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, MINDEF sentiasa mengamalkan sikap terbuka dan telus sejak awal lagi kerana isu keselamatan dan integriti anggota berkait rapat dengan kedaulatan serta pertahanan negara.

Pada masa sama, Mohamed Khaled berkata, langkah kawalan dan pemeriksaan di semua pangkalan udara lain juga akan ditingkatkan serta diperketat bagi mengekalkan moral warga tentera dan memastikan reputasi institusi pertahanan negara terus terpelihara.

Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa pegawai TUDM, termasuk juruterbang, terbabit kes penyeludupan dadah membabitkan jumlah yang besar.

Berikutan itu, pada Khamis lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, dilaporkan mengesahkan lima pegawai TUDM ialah antara 11 suspek ditahan di sekitar Lembah Klang dan Labuan, kerana disyaki terbabit aktiviti pengedaran 96.64 kilogram dadah dengan menggunakan aset TUDM itu. -BH Online