KUALA SELANGOR: Semua mangsa banjir sama ada berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) atau memilih kekal di kediaman masing-masing, dinasihatkan mendaftar bagi mengelak tercicir daripada menerima bantuan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata proses pendaftaran penting bagi membolehkan maklumat setiap mangsa direkodkan dan bantuan disalurkan dengan lebih teratur.
“Kita sudah salurkan semua (maklumat) melainkan mereka yang tertinggal disebabkan masa dan sebagainya.
“Masuk PPS atau yang tidak pindah pun kena berdaftar supaya kita ada rekod, cuma yang lambat daftar mungkin ambil masa sedikit,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Maharaja Lela, Kampung Parit Omar, Jeram di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kassim dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan.
Nancy berkata, JKM bersiap siaga menghadapi kemungkinan pertambahan jumlah mangsa di PPS sekiranya banjir semakin buruk.
Ketika ini, seramai 1,817 mangsa daripada 503 keluarga berlindung di 14 PPS di Selangor. -BH Online

