KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkukuh tadbir urus ekonomi biru negara menerusi penubuhan Jawatankuasa Pemandu Ekonomi Biru (JPEB) bagi memandu hala tuju strategik, menyelaras dasar dan memantau pelaksanaan Rangka Tindakan Ekonomi Biru Malaysia (MBEB).
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata langkah itu penting bagi memastikan potensi ekonomi biru diterjemahkan kepada hasil yang boleh diukur menerusi pelan tindakan sektoral, pelaksanaan projek berimpak tinggi dan mekanisme pembiayaan bersesuaian.
Beliau berkata, keutamaan kerajaan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) adalah membangunkan sektor ekonomi biru tanpa menjejaskan kelestarian ekosistem marin negara.
“Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri akan terus diperkukuh menerusi pembangunan hab ekonomi biru di Sabah, Terengganu, Kelantan dan Perak dengan memanfaatkan kelebihan ekonomi setempat.
“Perakuan JPEB akan dikemukakan untuk pertimbangan dan keputusan JKEB yang dijangka bermesyuarat pada Januari 2027,” katanya dalam kenyataan.
Ekonomi biru ialah konsep pembangunan ekonomi yang menggunakan sumber laut, pesisir pantai dan marin secara mampan bagi menjana pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan sosial tanpa merosakkan ekosistem laut.
Menurutnya, peluncuran dokumen MBEB akan menyusul selepas itu, tertakluk kepada keputusan jawatankuasa berkenaan.
JPEB yang dipengerusikan beliau ditubuhkan susulan keputusan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 1 Tahun 2026 pada 12 Mac lalu sebelum dipersetujui Jemaah Menteri pada 1 April 2026.
Jawatankuasa itu berperanan memperakukan keutamaan pembangunan serta menyelaras pelaksanaan dasar menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan.
Dalam mesyuarat sulung JPEB pada 19 November lalu di Kementerian Ekonomi Putrajaya, tiga kertas pertimbangan diperhalusi untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Kabinet Mengenai Ekonomi Biru (JKEB) yang dipengerusikan Perdana Menteri.
Tiga kertas berkenaan merangkumi struktur dan terma rujukan tadbir urus ekonomi biru Malaysia, pelaksanaan dasar serta program flagship nasional ekonomi biru dan analisis isu serta cabaran, strategi intervensi dan keberhasilan mengikut sektor MBEB.
Antara cadangan yang diperhalusi termasuk pembangunan tujuh sektor pertumbuhan utama dan lima Program Flagship Nasional bagi meneroka sumber pertumbuhan baharu serta memperkukuh daya saing ekonomi biru negara.
Mesyuarat itu turut mengambil maklum status pelaksanaan ekonomi biru di Perak dan Sabah.-BH Online
