KUALA LUMPUR: Tujuh anggota dan pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah ditahan bagi membantu siasatan susulan penemuan 96.6 kilogram (kg) disyaki dadah di Pangkalan Udara Subang, dekat sini Selasa lalu.
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, mereka terdiri lima pegawai dan dua anggota lain-lain pangkat.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku atau pembabitan anggotanya dalam aktiviti penyeludupan serta pengedaran dadah, khususnya yang membabitkan pesawat dan aset ketenteraan, tanpa mengira pangkat atau jawatan.
“TUDM sudah mengambil tindakan segera susulan penemuan itu, termasuk menahan individu yang disyaki terbabit, memaklumkan kepada pihak polis serta menyerahkan mereka kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) untuk siasatan lanjut.
“TUDM akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis bagi memastikan siasatan menyeluruh dapat dijalankan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, dua anggota TUDM direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pengedaran dadah membabitkan penggunaan pesawat tentera.
Perintah reman terhadap seorang koperal berusia 28 tahun dan pegawai waran II berusia 48 tahun itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum, susulan permohonan polis pagi tadi.
Kedua-dua mereka ditahan dalam satu operasi polis awal pagi tadi sebelum dibawa ke mahkamah untuk permohonan perintah reman.
Penahanan mereka dipercayai mempunyai kaitan sindiket pengedaran 96.64kg dadah jenis syabu (methamphetamine) bernilai RM4.83 juta yang turut membabitkan lima pegawai TUDM dan enam orang awam.
Sementara itu, Norazlan berkata penemuan itu dibuat anggota TUDM di bangunan Seksyen Pergerakan Udara (AMS), Pangkalan Udara Subang.
“Pemeriksaan awal mendapati bagasi mencurigakan itu tidak mempunyai pelekat saringan keselamatan yang menunjukkan ia sudah melalui pemeriksaan keselamatan diwajibkan.
“Pemeriksaan lanjut oleh anggota Pasukan Pertahanan Darat TUDM (HANDAU) menggunakan mesin pengimbas berjaya mengesan beberapa bungkusan mencurigakan yang disusun dengan kemas dalam bagasi terbabit,” katanya.
Norazlan berkata, tindakan TUDM mengesan kejadian itu, membuat tangkapan awal, melaporkan perkara berkenaan serta menyerahkan suspek kepada pihak berkuasa mencerminkan komitmen pasukan dalam memastikan kegiatan sedemikian tidak berterusan. -BH Online
