KUALA LUMPUR: Seramai 227,414 pelarian dan pemohon suaka didaftarkan di Malaysia melalui Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) hingga 30 September lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia termasuk 205,273 pelarian (90.2 peratus) berasal dari Myanmar dan daripada jumlah itu, 132,400 pelarian adalah etnik Rohingya.
Saifuddin Nasution, memaklumkan rekod UNHCR juga menunjukkan pemegang kad UNHCR berada di seluruh Semenanjung, dengan peratusan tertinggi di Selangor, iaitu sebanyak 33 peratus (74,028); Kuala Lumpur, 21 peratus (47,333) dan Pulau Pinang, 11 peratus (25,357).
“Taburan ini merujuk kepada keseluruhan pemegang kad UNHCR dan bukan khusus kepada etnik Rohingya.
“Sementara itu, sehingga 31 Oktober 2026, daripada keseluruhan 11,208 tahanan warganegara Myanmar di Depot Tahanan Imigresen (DTI) seluruh Semenanjung, seramai 6,294 orang ialah etnik Rohingya,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai jumlah terkini warga Rohinya, jenayah membabitkan golongan itu, aduan pemalsuan kad UNHCR, lokasi penempatan dan langkah kerajaan mengawal serta menguruskan mereka, yang mendatangkan keresahan kepada rakyat tempatan.
Mengenai kes jenayah, Saifuddin Nasution berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh 2022 hingga Ogos 2026, 199 kes jenayah indeks membabitkan pelarian Myanmar.
Bagi isu pemalsuan kad UNHCR katanya, hanya satu kes pemalsuan dokumen direkodkan, membabitkan enam warganegara Myanmar di Kuala Lumpur dan semua mereka sudah dituduh di mahkamah.
Dalam mengurus isu pelarian, Saifuddin Nasution berkata, kerajaan melaksanakan pendekatan menyeluruh melalui Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No 23 (Semakan 2023), yang menggembleng peranan 20 kementerian dan agensi.
Kerangka itu menetapkan pembahagian tanggungjawab, merangkumi pengukuhan kawalan sempadan bagi mencegah kemasukan baharu, pendaftaran dan pengurusan pelarian yang sudah berada dalam negara serta pelaksanaan penyelesaian jangka panjang melalui pengurusan akhir golongan berkenaan.
Beliau berkata, melalui kerangka itu, KDN memulakan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) pada 1 Januari 2026 bagi mengambil alih fungsi pendaftaran pelarian daripada UNHCR secara berperingkat.
Ini juga membolehkan kerajaan membangunkan pangkalan data biometrik rasmi, merangkumi pengesahan identiti, profil keselamatan dan maklumat lokasi, seterusnya memperkukuh kawalan serta pemantauan keberadaan golongan berkenaan.
“Di bawah mekanisme DPP, pemegang Kad DPP yang diberikan Pas Khas di bawah Peraturan 14, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 tertakluk kepada syarat keberadaan dan kawalan pergerakan yang ditetapkan.
“Mereka hanya dibenarkan berada di negeri yang didaftarkan, manakala pergerakan ke negeri lain memerlukan kelulusan bertulis Pengarah Imigresen Negeri.
“Kad DPP bukan dokumen perjalanan dan tidak membenarkan pemegangnya memasuki Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.
“Sepanjang keberadaan sementara mereka di negara ini, pelarian di bawah Program DPP akan diberikan akses kepada perkhidmatan sosial secara terkawal bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih bermaruah hingga pengurusan akhir dilaksanakan,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata di bawah Program Kebenaran Bekerja Pelarian yang diselaraskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan MKN, pelarian yang dipadankan dengan pekerjaan dikehendaki ditempatkan di penginapan pekerja berpusat (CLQ).
Ini bagi memastikan penempatan yang lebih teratur dan memudahkan pemantauan keberadaan serta pematuhan terhadap syarat yang ditetapkan.
Beliau menegaskan, pemilikan Kad DPP tertakluk kepada pematuhan undang-undang negara dan syarat yang ditetapkan.
Mana-mana individu yang gagal mematuhinya akan dikenakan tindakan penguatkuasaan, termasuk pembatalan pas dan pengusiran mengikut peruntukan serta proses undang-undang yang berkuat kuasa.
“Program DPP tidak memberikan taraf pemastautin tetap dan bukan laluan kepada kewarganegaraan Malaysia.
Bagi mengelakkan program ini menjadi faktor tarikan kepada kemasukan baharu, hanya mereka yang sudah berada dalam negara sebelum 1 Januari 2023 layak dipertimbang untuk menyertai Program DPP.
“Pelarian atau pemohon suaka yang masuk secara tidak sah selepas tarikh itu tidak akan dipertimbang di bawah program ini dan tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan imigresen,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata, keberadaan pelarian di Malaysia adalah bersifat sementara dan pengurusannya menjurus kepada tiga bentuk pengurusan akhir saja, iaitu penempatan semula ke negara ketiga, penghantaran pulang ke negara asal dan pengusiran mengikut undang-undang.
“Dalam merangka dan melaksanakan pengurusan akhir itu, KDN akan terus membantu dan memberikan kerjasama erat kepada kementerian serta agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu pelarian.
“Segala langkah ini dilaksanakan dengan mengutamakan keselamatan negara, kedaulatan undang-undang serta kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya. -BH Online
