SHENZHEN: Penyertaan Malaysia dalam Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) memperkukuh prinsip berkecuali dan dasar ekonomi serta luar yang bebas, ketika dunia berdepan perpecahan semakin ketara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menyifatkan lawatan itu amat produktif, Perdana Menteri berkata Malaysia yang menyertai mesyuarat berkenaan buat kali keenam sejak beliau memegang jawatan itu, sekali lagi menegaskan pendirian berkecuali dan keterbukaan dalam perdagangan menerusi pertemuan dua hala serta tidak rasmi dengan pemimpin dunia.
“Kehadiran saya bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Ghani dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution serta Ketua Setiausaha (KSU), adalah atas jemputan Presiden Xi Jinping untuk menghadiri Sidang Kemuncak APEC di Shenzhen.
“Kami turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Xi. Walaupun sudah bertemu awal tahun ini, pertemuan itu membuktikan hubungan baik dan persahabatan Malaysia-China semakin kukuh,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Perdana Menteri turut mengambil kesempatan mengadakan pertemuan ringkas bersama Presiden Russia, Vladimir Putin, dengan perbincangan tertumpu kepada persetujuan awal dalam bidang perdagangan, perolehan tenaga dan keselamatan, selain eksport diesel, minyak dan gas.
“Kita juga bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebagai susulan pertemuan terdahulu di Manila.
“Wujud keperluan mengekalkan hubungan bagi memastikan perdagangan dan pelaburan Amerika (Syarikat) di Malaysia serta hubungan perdagangan keseluruhan dengan AS tidak terjejas,” katanya.
Anwar berkata, pertemuan dengan Trump turut memberi jaminan bahawa hubungan baik Malaysia dengan China tidak menjejaskan kepentingan negara sebagai sebuah negara berdaulat dan bebas.
Katanya, hubungan penting dengan China kekal sebagai antara tonggak utama strategi ekonomi Malaysia, dengan nilai perdagangan antara kedua-dua negara mencecah RM541.15 bilion pada 2025.
Berdasarkan momentum itu, kerajaan memperoleh potensi pelaburan bernilai RM9.2 bilion daripada syarikat utama dalam sektor teknologi dan pembuatan di rantau ini.
Antara syarikat yang mengembangkan operasi di hab perindustrian sekitar Taman Teknologi Tinggi Kulim di Pulau Pinang, Selangor dan Pahang ialah Fastprint Circuit Tech, Fast Train Technology, Mindray Biomedical dan New Energy Materials.
Perdana Menteri menegaskan komitmen kerajaan untuk memudah cara pelaburan berkenaan menerusi pengurangan kerenah birokrasi, selain memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan diintegrasikan dalam rantaian bekalan serta dilindungi daripada pengambilalihan asing yang bersifat menindas.
Prestasi ekonomi Malaysia juga terus mengatasi unjuran, apabila mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.5 peratus pada suku ketiga 2026.
Perdana Menteri berkata, pertumbuhan itu membuktikan keberkesanan pelaksanaan inisiatif ekonomi dan dasar luar negara ketika ini.
“Dari segi sejarah, kita lazimnya mencapai unjuran yang ditetapkan, namun jarang sekali dapat mengatasinya dengan begitu memberangsangkan,” katanya.-BH Online
