KUALA LUMPUR: Kehadiran peminat dari luar negara yang membentuk kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan penonton membuktikan konsert berskala besar berupaya menjadi tarikan pelancongan sekali gus merancakkan ekonomi negara.
Perkara itu disifatkan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, sebagai antara impak positif penganjuran konsert antarabangsa, termasuk My Chemical Romance Live In Kuala Lumpur yang berlangsung di Stadium Nasional, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, konsert berkenaan turut menerima manfaat menerusi insentif Concerts and Events in Malaysia Incentive (CEMI) yang disediakan Kementerian Komunikasi bagi menggalakkan penganjuran acara berskala besar di negara ini.
“Saya difahamkan 40 peratus penonton yang hadir malam ini adalah warga asing. Apabila mereka membeli tiket dan datang menyaksikan konsert, ia memberikan kesan baik kepada ekonomi apabila mereka turut mendapatkan penginapan, menyewa kereta dan sebagainya.
“Kementerian Komunikasi menyediakan insentif iaitu Concerts and Events in Malaysia Incentive (CEMI) dan konsert My Chemical Romance adalah antara penerimanya,” katanya ketika menghadiri hari pertama konsert berkenaan.
Fahmi yang juga peminat kumpulan rock dari Amerika Syarikat itu berkata, penganjuran acara antarabangsa seperti berkenaan membuka peluang untuk meningkatkan aktiviti ekonomi tempatan.
Beliau berkata, hampir 140,000 tiket dilaporkan terjual bagi dua malam persembahan, selain menyampaikan beberapa pesanan kepada penganjur untuk menambah baik aspek persembahan pada malam kedua.
Selepas 19 tahun menanti, peminat My Chemical Romance akhirnya berpeluang menyaksikan kumpulan itu beraksi di hadapan mereka, dengan persembahan hari pertama anjuran Hello Universe berjaya menghimpunkan kira-kira 62,000 penonton.
Jumlah kehadiran itu membuktikan pengaruh kumpulan yang dianggotai Gerard Way (vokalis), Ray Toro (gitar), Frank Iero (gitar) dan Mikey Way (bes) masih utuh, khususnya dalam kalangan generasi milenial yang membesar dengan lagu popular mereka.
Keistimewaan konsert kali ini turut terserlah menerusi konsep persembahan teaterikal yang menjadi identiti My Chemical Romance, khususnya ketika membawakan album ikonik mereka, The Black Parade.
Menerusi segmen utama yang sarat dengan elemen penceritaan, setiap anggota kumpulan tampil mengenakan pakaian seragam perbarisan berwarna kelabu lusuh bagi menghidupkan dunia imaginasi yang menjadi latar album berkenaan.
Lebih menarik, Gerard dan anggota lain mengekalkan watak masing-masing sepanjang segmen itu tanpa berinteraksi secara langsung dengan penonton, sebaliknya meneruskan jalan cerita menerusi lakonan di pentas.
Kesemua lagu daripada album The Black Parade dipersembahkan, termasuk Welcome to the Black Parade, Famous Last Words, Cancer, Teenagers, Mama dan I Don’t Love You yang menerima sorakan gemuruh penonton.
Turut melengkapkan senarai persembahan ialah The End, Dead!, This Is How I Disappear, The Sharpest Lives, Give ‘Em Hell, Kid, Na Na Na (Na Na Na Na Na Na Na Na Na), Sing, Ambulance, Cemetery Drive, I’m Not Okay (I Promise) dan Demolition Lovers.
Ketika tiba segmen interaksi bersama penonton, Gerard turut meluahkan penghargaan kepada peminat yang setia menantikan kehadiran mereka ke Malaysia.
“Saya tahu persembahan ini dijadualkan semula, tetapi terima kasih kerana hadir malam ini. Terima kasih kerana menunggu lama untuk kami,” katanya. -BH Online
