Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membawa cadangan memperluas Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada peniaga kecil yang terjejas akibat banjir untuk pertimbangan Jawatankuasa Pengurusan Pusat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata cadangan itu wajar diberi perhatian memandangkan kesan banjir bukan hanya ditanggung penghuni kediaman, malah turut membabitkan peniaga kecil yang berdepan kerugian akibat bencana berkenaan.

“Satu cadangan yang baik dan insya-Allah saya akan bawa ke Jawatankuasa Pengurusan Pusat mengenai perkara itu.

“Ini adalah sesuatu yang harus difikirkan tetapi kita harus ingat, ini takdir daripada Allah dan bukan kita mahu membayar pampasan tetapi memberikan bantuan.

“Jadi keprihatinan itu harus diberikan keutamaan,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang membangkitkan isu kriteria kelayakan BWI yang sebelum ini dikaitkan dengan keperluan mangsa berpindah atau mendaftar di PPS.

Ahmad Zahid berkata, terdapat mangsa yang tidak dapat berpindah ke PPS walaupun kediaman mereka terjejas, selain peniaga kecil yang turut menanggung kesan kerugian akibat banjir tetapi tidak termasuk dalam kategori penerima bantuan berkenaan.

Justeru beliau mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pendekatan bantuan berdasarkan pengesahan kerosakan atau impak sebenar bencana, berbanding bergantung kepada status pendaftaran mangsa semata-mata.

Mengulas mengenai penyelarasan dan pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) ketika Monsun Timur Laut (MTL), Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata sebanyak 150 pertubuhan sudah diselaraskan di peringkat nasional, negeri dan daerah. 

Katanya, bagi NGO tidak beruniform pula ia diletakkan di bawah penyelarasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

“Kita sudah melakukan penyelarasan, ia termasuklah NGO yang digerakkan oleh parti politik tanpa mengira warna, sama ada biru pekat atau biru cerah dan warna lain, kita akan melakukan yang terbaik. 

“Kita sudah mengatur gerakkan semua aset dan marilah kita ketepikan perbezaan politik dalam perkara ini kerana banjir tidak mengenal warna politik dan mangsa banjir juga mengharapkan tidak ada perbezaan ini kerana kesemua mereka harus dibantu oleh pihak kerajaan,” katanya. -BH Online