Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia berkemungkinan besar tidak akan menyertai Konvensyen Kesatuan Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan (UPOV) 1991.

Ia kerana kerajaan masih meneruskan sesi libat urus bagi meneliti kesan penyertaan itu ke atas kepentingan petani tempatan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kerajaan tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan atau membawa pindaan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta 634) ke Parlimen tanpa mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan. 

Katanya, walaupun penyertaan Malaysia dalam UPOV 1991 adalah sebahagian komitmen negara di bawah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), kepentingan petani tradisional juga perlu terus dilindungi.

“Kemungkinan kita tidak sempat untuk menyertai kali ini kerana tarikh akhir adalah 29 November ini, iaitu tinggal kira-kira 10 hari lagi. 

“Kita lihat ada negara yang tidak menyertai seperti India, tapi masih mempunyai teknologi (hebat), ada juga negara yang menyertai iaitu Vietnam yang kita lihat pertanian mereka juga begitu maju dan berkembang sekarang ini,” katanya. 

Menjawab soalan pada sidang Dewan Rakyat hari ini, Mohamad berkata, kerajaan mengambil kira semua pandangan, termasuk daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang beberapa kali membuat himpunan di depan Parlimen.

“Semuanya kita ambil perhatian dan bincang perkara ini supaya sebarang penyertaan kita tidak merugikan terutama petani tradisional.

“Ada hujah pro dan kontra yang mengatakan kalau kita sertai keberanian pelabur dalam negara dan luar negara untuk terbabit dalam industri benih ini, itu dinilai positif.

“Aspek negatifnya ada NGO mengatakan mungkin monopoli yang datang daripada syarikat gergasi daripada luar. Semua ni kita ambil perhatian. Apa yang penting adalah kita mahu akta ini melegakan semua pihak,” katanya.

Beliau menjawab soalan Mohd Misbahul Munir Masduk (PN-Parit Buntar) mengenai pendirian muktamad kerajaan sama ada akan menyertai UPOV 1991 atau sebaliknya. 

Julai lalu, Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) mengumpulkan 20,800 tandatangan rakyat Malaysia menerusi satu petisyen bagi membantah pindaan Akta 634 yang dikaitkan dengan penyertaan negara dalam Konvensyen UPOV 1991.

Tiga faktor utama menjadi asas penolakan terhadap UPOV 1991, iaitu ancaman biopirasi, penafian hak tradisi petani melalui takrifan benih moden, serta kewujudan kelompongan perundangan yang didakwa bercanggah dengan Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 (Akta ABS 795).

Selain itu, pelaksanaan UPOV 1991 juga didakwa boleh menyebabkan kenaikan harga benih dan mengukuhkan monopoli syarikat korporat besar kerana sistem tersebut direka bagi memberikan hak monopoli eksklusif kepada pemilik varieti baharu untuk tempoh antara 20 hingga 25 tahun.-BH Online