Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MANILA: ASEAN perlu fokus dalam usahanya memperkukuh pelaksanaan transformasi digital merentasi rantau ini dengan memanfaatkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia selaras Wawasan Komuniti ASEAN 2045 yang menuntut integrasi ekonomi serta pembinaan asas institusi yang kukuh serta pertumbuhan mampan sekali gus memberi manfaat kepada setiap lapisan Masyarakat.

Justeru, Malaysia mengalu-alukan pemeteraian bersejarah perjanjian DEFA yang berpotensi membantu ASEAN menggandakan saiz ekonomi digital serantau kepada AS$2 trilion menjelang 2030.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan pembangunan dan tadbir urus teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang semakin mempengaruhi landskap ekonomi dan keselamatan global, tidak sewajarnya dimonopoli segelintir syarikat teknologi gergasi dunia atas kepentingan komersial.

“Sehubungan itu, kita perlu memperkukuh keupayaan teknologi secara kolektif, melindungi kedaulatan data serta mewujudkan kerangka tadbir urus yang mantap bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti sentiasa terpelihara,” katanya ketika sesi pleno pada Sidang Kemuncak Asean Ke-49, di sini, hari ini.

Beliau berkata, perjanjian DEFA dilihat mampu membuka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan digital termasuk untuk dimanfaatkan Malaysia sekali gus memperkukuh kedudukannya dalam ekonomi serantau.

Pada 2025, sektor teknologi maklumat dan komunikasi serta e-dagang menyumbang 23.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), bersamaan RM476.8 bilion. -BH Online