Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

PAPAR: Malaysia menyasarkan untuk berada dalam kelompok 20 negara terbaik Indeks Inovasi Global (GII) menjelang tahun depan, berbanding kedudukan ke-34 tahun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sasaran itu selaras komitmen kerajaan memperkukuh ekosistem penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Katanya, usaha itu turut memberi tumpuan kepada peningkatan penciptaan nilai harta intelek negara, termasuk menyasarkan sebanyak 2,000 permohonan paten oleh rakyat Malaysia menjelang 2030.

“Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) akan terus mempergiat program pembangunan kapasiti pada 2027 dengan memberi tumpuan kepada peluasan akses pembiayaan, mempercepat pengkomersialan harta intelek serta memperkukuh perlindungan dan pemilikan aset harta intelek tempatan.

“Antara inisiatif utama ialah kemudahan pembiayaan berasaskan harta intelek menerusi IP Valuation Financing Fund bagi membantu syarikat pemula dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapatkan khidmat penilaian harta intelek profesional,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan Program IP Spark di Dewan SMK Pengalat, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MyIPO, Riduan Rubin.

Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata MyIPO turut memperkukuh ekonomi komuniti menerusi Program Petunjuk Geografi (GI) MADANI yang memberi tumpuan kepada perlindungan produk tempatan.

Katanya, bagi 2027, MyIPO menyasarkan lima permohonan petunjuk geografi tempatan dan dua permohonan antarabangsa, termasuk membabitkan produk seperti Avocado Sabah, Nanas Bario dan Durian Raja Kunyit Tanah Merah.

“Inisiatif berkenaan bertujuan meningkatkan pengiktirafan, reputasi serta nilai komersial produk tempatan, sekali gus membuka peluang pasaran lebih luas kepada komuniti pengeluar,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada pengukuhan kerangka dasar harta intelek negara menerusi kajian penambahbaikan Dasar Harta Intelek Negara (DHIN 2.0) serta kajian perlindungan ekspresi budaya tradisional.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan ekosistem harta intelek negara kekal relevan dan progresif, selain berupaya menangani cabaran perkembangan teknologi serta memenuhi keperluan industri dan komuniti. -BH Online