PETALING JAYA: Seramai 70,195 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi 11,808 operasi penguatkuasaan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di seluruh negara sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata seramai 155,498 individu diperiksa dan 328,744 orang mendaftar melalui Program Repatriasi Migran (PRM) 2.0 dalam tempoh sama.
Daripada jumlah itu, beliau berkata, seramai 243,501 individu sudah pulang ke negara asal melalui program berkenaan.
“Dalam tempoh sama, seramai 52,585 PATI diusir selepas melalui proses perundangan dan dokumentasi berkaitan,” katanya.
Zakaria berkata, Imigresen melaksanakan pemantauan serta penguatkuasaan berterusan terhadap warga asing yang melanggar syarat imigresen, termasuk tinggal melebihi tempoh dibenarkan, menyalahgunakan pas, atau berada di negara ini tanpa dokumen sah.
Katanya, operasi dijalankan secara bersasar dan berasaskan risikan dengan memfokus tempat berisiko tinggi berlaku pelanggaran undang-undang imigresen, termasuk kawasan penempatan, premis pekerjaan dan perniagaan, serta lokasi tumpuan warga asing.
Beliau berkata, pemantauan turut mengambil kira pelbagai modus operandi dikenal pasti, antaranya penyalahgunaan pas, penggunaan premis sebagai tempat penempatan atau transit, serta penggajian warga asing tanpa kebenaran sah.
“Maklumat daripada aktiviti risikan, pemantauan dan kerjasama antara agensi digunakan bagi merancang tindakan penguatkuasaan lebih berfokus, termasuk mengenal pasti individu serta pihak disyaki terbabit pelanggaran undang-undang imigresen,” katanya.
Dalam pada itu, Zakaria berkata, Imigresen turut melaksanakan operasi secara kendiri dan bersepadu bersama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, sebanyak 1,674 operasi bersepadu dijalankan bersama agensi berkaitan, selain 3,424 pemeriksaan inspektorat penguatkuasaan membabitkan premis di seluruh negara sepanjang tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
Beliau berkata, kerjasama antara agensi membolehkan penyelarasan tindakan lebih menyeluruh, termasuk mengenal pasti penyalahgunaan premis, penggajian warga asing tanpa kebenaran, serta pembabitan pihak melindungi atau memudahkan pelanggaran undang-undang imigresen.
“Imigresen mengalu-alukan penyaluran maklumat daripada masyarakat berkaitan aktiviti disyaki melanggar undang-undang imigresen, melalui saluran rasmi jabatan untuk penelitian dan tindakan sewajarnya.
“Kami juga akan terus memperkukuhkan kaedah pengesanan, aktiviti risikan serta kerjasama strategik antara agensi bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan imigresen di seluruh negara,” katanya.-BH Online
