AYER KEROH: Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh menegaskan beliau bukan hanya Ketua Menteri kepada mereka yang mengundi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya pemimpin kepada seluruh rakyat Melaka tanpa mengira kaum, agama, latar belakang atau kecenderungan politik.
Ketua Menteri Melaka itu berkata, kemenangan memberikan mandat baharu kepada BN dan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam bukan alasan untuk meminggirkan mana-mana pihak, termasuk rakyat yang mempunyai perbezaan fahaman politik.
Sebaliknya, beliau bertekad memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat perhatian sewajarnya, selain tiada kawasan yang tercicir daripada arus pembangunan negeri.
“Saya bukan Ketua Menteri kepada mereka yang mengundi saya sahaja. Saya adalah Ketua Menteri kepada seluruh rakyat Melaka tanpa mengira kaum, agama, latar belakang mahupun fahaman politik.
“Tiada rakyat yang harus dipinggirkan, tiada kawasan yang harus dilupakan dan tiada suara yang harus diketepikan dalam usaha kita membangunkan negeri tercinta ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka bagi penggal kedua di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, hari ini.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, pentadbiran negeri sebelum ini berjaya membina asas pembangunan yang kukuh menerusi pelbagai inisiatif, namun mengakui masih banyak usaha perlu dilaksanakan bagi memenuhi harapan rakyat.
Sehubungan itu, katanya, mandat baharu diterima akan dimanfaatkan untuk memperkukuh ekonomi negeri, menarik lebih banyak pelaburan berkualiti serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Alhamdulillah, dalam tempoh pentadbiran sebelum ini, kita sudah membina asas pembangunan negeri yang kukuh melalui pelbagai inisiatif, namun saya sedar masih banyak lagi yang perlu kita lakukan.
“Sebab itu, dalam mandat baharu ini, saya akan memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi negeri, menarik pelaburan berkualiti, memperkasa kebajikan rakyat, mempercepat pelaksanaan projek pembangunan strategik serta memperkukuh respons kepada aduan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, usaha berkenaan penting bagi memastikan pembangunan Melaka dapat diteruskan secara menyeluruh, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada rakyat tanpa mengira kawasan atau pegangan politik.
Pada PRN Melaka ke-16 semalam, BN dan PN memperoleh kemenangan besar apabila menguasai 24 daripada 28 kerusi DUN, sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti melebihi dua pertiga.
Mengikut keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), BN memenangi 21 kerusi, PN tiga kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh empat kerusi.
Ab Rauf turut berjaya mempertahankan kerusi DUN Tanjung Bidara dengan majoriti 8,615 undi selepas memperoleh 10,079 undi, menewaskan calon PH, Mohd Yunazri Mustamiri, yang meraih 1,464 undi. -BH Online
