Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BUKIT MERTAJAM: Platform e-dagang asing yang gagal mematuhi undang-undang Malaysia akan dikenakan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan persaingan adil dengan usahawan tempatan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, berkata kementeriannya melaksanakan strategi 3E merangkumi penguatkuasaan (enforcement), pemerkasaan (empowerment) serta penggubalan dasar dan perundangan (enactment of policies and legislation) bagi menangani persaingan daripada platform asing.

Beliau berkata, kerajaan mahu memastikan semua pemain industri, termasuk platform e-dagang luar negara, tertakluk kepada peraturan sama seperti yang perlu dipatuhi usahawan tempatan.

“Kita mahu mewujudkan persaingan yang adil. Apa yang dikenakan kepada usahawan Malaysia, platform e-dagang asing juga perlu mematuhinya.

“Kita tidak mahu berlaku persaingan tidak sihat sehingga pemain yang mempunyai modal besar menguasai keseluruhan pasaran,” katanya selepas merasmikan TikTok Shop Live Hub X TEKUN Nasional di TikTok Shop Live Hub Pulau Pinang, Bandar Perda, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kebimbangan usahawan e-dagang tempatan terhadap platform asing menawarkan produk pada harga lebih rendah sehingga berpotensi menjejaskan pendapatan mereka.

Steven Sim berkata, kerajaan turut memastikan platform e-dagang asing mematuhi kewajipan percukaian serta piawaian keselamatan dan kualiti yang ditetapkan di negara ini.

Katanya, antara keperluan perlu dipatuhi termasuk pensijilan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) bagi barangan elektrik serta syarat Agensi Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bagi produk makanan.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh hanya menyalahkan penggiat asing, sebaliknya perlu memperkukuh keupayaan usahawan tempatan melalui penyediaan pembiayaan, proses permohonan lebih pantas, latihan, peningkatan pengetahuan serta kaedah pemasaran lebih berkesan. -BH Online