Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JASIN: Kerajaan mengambil langkah awal menyediakan stok simpanan ikan sejuk beku yang dijangka mampu menampung keperluan sehingga lapan bulan.

Ia bagi menghadapi risiko kekurangan bekalan susulan fenomena El Nino diramal berlaku mulai Disember ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata langkah itu penting bagi memastikan bekalan ikan negara kekal stabil, selain mengurangkan kesan terhadap pendapatan nelayan yang mungkin terjejas akibat perubahan suhu perairan.

Katanya, fenomena berkenaan dijangka memberi kesan lebih ketara di Utara Semenanjung, khususnya Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, apabila peningkatan suhu laut menyebabkan ikan di kawasan pesisir bergerak ke perairan lebih dalam.

“Apabila laut menjadi panas, ikan yang berada di tepi pantai akan bergerak ke tengah. Keadaan ini menyebabkan hasil tangkapan mungkin berkurangan, sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan.

“Kita kena bersedia daripada sekarang, dengan pihak kementerian bersama agensi berkaitan akan melihat langkah yang perlu diambil berdasarkan keadaan semasa,” katanya ketika berucap merasmikan Program Himpunan Semarak Tani Bersama Nelayan Melaka di Taman Panglima Pak, Merlimau di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.

Mohamad berkata, sehubungan itu LKIM dan pengusaha pusat penyimpanan sejuk beku swasta diminta meningkatkan pembelian serta penyimpanan ikan ketika hasil tangkapan masih tinggi.

Beliau berkata, peningkatan mendadak pendaratan ikan kembung di Kuala Muda dan Sungai Petani, Kedah ketika ini memberi peluang kepada LKIM menambah stok simpanan pada kos lebih rendah.

“Sekarang ini ikan kembung naik begitu banyak di Kuala Muda dan Sungai Petani. Bot yang pulang sarat dengan hasil tangkapan, jadi kalau ikan itu dijual murah sekarang, kita minta LKIM (beli dan) memasukkannya ke pusat sejuk beku. Apabila berlaku kekurangan nanti, kita keluarkan semula ikan berkenaan.

“Stok ini, insya-Allah, cukup untuk lapan bulan. Ini antara persediaan kita menghadapi kemungkinan malapetaka yang boleh menjejaskan nelayan pantai,” katanya.

Beliau berkata, nelayan pesisir antara golongan paling berisiko menerima kesan fenomena itu kerana kebanyakan mereka bergantung kepada sumber perikanan di kawasan perairan cetek dengan kedalaman sekitar lima hingga 10 meter.

Katanya, pemantauan rapi perlu dilaksanakan bukan sahaja di negeri Utara, malah turut membabitkan Melaka dan Johor yang berkemungkinan menerima tempias perubahan cuaca berkenaan.

“Kita harap El Nino tidak membawa masalah besar, namun sekiranya berlaku, tindakan akan diambil mengikut aduan nelayan dan keadaan pada waktu itu.

“Sabah dan Sarawak diramalkan kurang menerima kesannya, tetapi kita tetap perlu berwaspada kerana cuaca sekarang tidak menentu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, kementeriannya sentiasa bekerjasama dengan persatuan nelayan bagi memastikan kebajikan golongan itu terus terpelihara, termasuk melalui pengagihan semula keuntungan daripada aktiviti berkaitan industri perikanan.

Katanya, persatuan nelayan di Melaka menerima manfaat berjumlah RM140,000 menerusi pengagihan berkenaan, sekali gus membantu memperkukuh kedudukan ekonomi komuniti terbabit. -BH Online