ALOR GAJAH: Semua parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 diingatkan supaya mengamalkan kempen secara berhemah dan tidak menjadikan serangan peribadi sebagai cara meraih sokongan pengundi.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata meskipun berlaku persaingan politik di peringkat negeri, hubungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan perlu terus dihormati.
Menurut beliau, kempen pilihan raya seharusnya memberi tumpuan kepada usaha meyakinkan rakyat untuk membentuk kerajaan dan bukannya mencaci atau memburukkan pihak lawan.
Mohamad berkata semua pihak perlu menyedari bahawa parti-parti yang bertanding masih bersama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Kita mesti melihat bahawa kerajaan Persekutuan masih lagi berada dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kita kena jaga kempen secara berhemah kerana kita berkempen ini untuk menubuhkan kerajaan, bukan untuk mencaci, menghina ataupun memburuk-burukkan lawan kita,” katanya.
Beliau berkata jentera dan penceramah parti perlu memainkan peranan menjelaskan isu yang dibangkitkan sepanjang tempoh kempen bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengundi.
Katanya, setiap isu perlu ditangani melalui penjelasan yang jelas dan berfakta tanpa mencetuskan sentimen yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat.
Mohamad berkata tanggungjawab penceramah adalah memberi penjelasan terhadap isu yang dibangkitkan supaya masyarakat memperoleh maklumat yang tepat.
“Itu sebabnya saya nasihatkan petugas dan penceramah supaya memberikan penerangan.
“Jika ada isu yang ditimbulkan oleh mana-mana pihak, tugas dan tanggungjawab penceramah kita ialah menerangkan dan memberikan penjelasan supaya pengundi mendapat penerangan yang jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program ramah mesra dan sarapan pagi bersama masyarakat Lendu di Durian Daun pada Isnin.
Turut hadir calon BN bagi DUN Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid.-Astro Awani
