Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Seramai 751 mangsa banjir daripada 216 keluarga masih ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di Selangor dan Perak setakat jam 11.30 pagi ini. 

Berdasarkan data terkini portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Perak mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 424 orang daripada 132 keluarga yang ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak.

Kedua-dua PPS berkenaan ialah Dewan Rumah Rehat MPTI Bandar Baru dan Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan di Langkap, yang mula beroperasi secara berperingkat sejak 6 November lalu.

Sementara itu, di Selangor, seramai 327 mangsa daripada 84 keluarga ditempatkan di lima PPS yang dibuka di daerah Kuala Selangor dan Shah Alam.

Kuala Selangor mencatatkan jumlah mangsa tertinggi di negeri itu dengan 282 orang daripada 74 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS. 

Lokasi terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang di Mukim Jeram dengan 135 mangsa, Sekolah Agama Batu 8 Ijok (77 mangsa) dan SK Jaya Setia di Mukim Ijok (70 mangsa). 

Di Shah Alam pula, seramai 47 mangsa daripada 11 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Siantan, Kampung Melayu Subang Seksyen U6, Mukim Kota Damansara yang dibuka sejak 2 November lalu. 

Dalam pada itu, JKM turut membuka sebuah lagi PPS sebagai persediaan di SK Dato’ Maharaja Lela, namun tiada mangsa didaftarkan di pusat pemindahan berkenaan setakat kemas kini pagi ini.

Pihak berkuasa tempatan bersama JKM dan pasukan penyelamat terus berada dalam keadaan siap siaga bagi memantau paras air sungai serta keadaan cuaca dari semasa ke semasa demi memastikan keselamatan penduduk setempat. -BH Online