Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC dan Maju Institute of Educational Development (MIED) di Kota Kemuning di sini.

Ketibaan Perdana Menteri disambut Presiden MIC yang juga Pengerusi MIED, Tan Sri SA Vigneswaran, sekali gus memeriahkan lagi sambutan Pesta Cahaya itu yang dihadiri hampir 3,000 tetamu daripada pelbagai kaum.

Perdana Menteri meluangkan masa beramah mesra dengan tetamu dan majlis juga dihadiri beberapa pemimpin politik, antaranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Sementara itu, Vigneswaran berkata, sambutan itu membuktikan rakyat Malaysia boleh hidup secara harmoni serta sentiasa berkongsi kegembiraan perayaan sepanjang tahun.

“Perayaan dapat menjadi medan integrasi antara kaum. Walaupun wujud perbezaan latar belakang politik, sambutan seperti ini berupaya mengetepikan segala perkara itu demi kebersamaan,” katanya.

Vigneswaran berharap, rakyat Malaysia dapat meneruskan keakraban sedia ada dan menjadikannya sebagai kekuatan untuk negara bergerak ke arah kemajuan secara menyeluruh.

Sementara itu, Wee berkata, suasana majlis itu bukan sahaja meriah, malah menzahirkan keunikan kepelbagaian rakyat Malaysia dalam suasana muhibah.

“Semangat muhibah telah lama terjalin dalam kalangan rakyat Malaysia dan ia perlu dipelihara demi kemakmuran negara yang kita cintai,” katanya.

Pada majlis itu, Vigneswaran dan Wee mengiringi Perdana Menteri memotong kek sebagai simbolik kemuncak majlis rumah terbuka tersebut. – BERNAMA