KUALA LUMPUR, 7 November 2026 – Istana Negara menegaskan bahawa perintah pengampunan bersyarat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, adalah jelas dan tidak sepatutnya menimbulkan sebarang kekeliruan atau tafsiran berbeza.
Menerusi titah kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu, Istana Negara memaklumkan bahawa Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah meneliti petisyen Najib pada 18 September 2026, di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan dan Peguam Negara sebelum nasihat sewajarnya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Menurut kenyataan itu, Seri Paduka Baginda telah memerintahkan supaya Najib menjalani hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah, tertakluk kepada syarat pembayaran denda sebanyak RM50 juta.
Istana Negara turut menegaskan bahawa perintah pengampunan bersyarat berkenaan adalah jelas, nyata dan tidak mempunyai sebarang kekaburan, selain tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kes lain yang melibatkan bekas Perdana Menteri itu.
Sehubungan itu, Istana Negara berpandangan bahawa tidak sepatutnya timbul kekeliruan tafsiran sehingga menyebabkan ketidakpastian berpanjangan terhadap pelaksanaan keputusan yang telah diperkenankan.
Kenyataan itu turut mengingatkan bahawa kuasa pengampunan merupakan prerogatif Diraja yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan pelaksanaannya hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan serta prinsip kedaulatan undang-undang.
Mengulas lanjut, Istana Negara menyatakan bahawa memandangkan semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi, sebarang hujah yang mempertikaikan perintah berkenaan disifatkan sebagai menjurus ke arah mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong. -Media Perpaduan
