Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Beberapa syor dasar dikenal pasti dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) dalam masa terdekat. 

Ia bagi proses penelitian dan mendapatkan maklum balas lanjut sebelum RUU berkenaan dimuktamadkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) menganjurkan Konvensyen Pendanaan Politik 2026 pada 8 September lalu. 

“Konvensyen itu diadakan dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) bagi membentangkan dapatan kajian serta mendapatkan pandangan lanjut pihak berkepentingan.

“Berdasarkan dapatan kajian, sesi libat urus dan proses triangulasi yang dilaksanakan, beberapa syor dasar disediakan untuk pertimbangan dalam penggubalan RUU Pendanaan Politik. 

“Ia termasuk meliputi skop pemakaian undang-undang, sumber dan had sumbangan, mekanisme penerimaan dana serta pelaporan, audit, ketelusan, kesalahan dan hukuman,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan laman sesawang Parlimen, malam tadi.

Mengenai kebimbangan mengenai audit cukai, semakan lesen atau kontrak kerajaan, beliau berkata, prinsip sedang dipertimbangkan ialah seseorang membuat sumbangan politik secara sah tidak sepatutnya dikenakan tindakan balas atau dilayan secara tidak adil semata-mata kerana sumbangan politik. 

“Bagaimanapun, prinsip itu tidak bermaksud penyumbang diberikan kekebalan daripada undang-undang. Sekiranya terdapat sebab yang sah dan bebas, contohnya berkaitan ketidakpatuhan cukai, pelanggaran syarat lesen, kesalahan jenayah atau isu dalam proses perolehan kerajaan, tindakan sewajarnya tetap boleh diambil mengikut undang-undang. 

“Justeru itu, apa yang perlu dipastikan ialah terdapat pemisahan jelas antara sumbangan politik dibuat secara sah dengan fungsi kerajaan dalam melaksanakan audit, pengawalseliaan, penguatkuasaan dan perolehan,” katanya. 

Selain itu, katanya, cadangan kewajipan pelaporan berkala, audit dan pendedahan maklumat kepada umum, berserta kesalahan dan penalti bersesuaian akan membantu memastikan semua pihak tertakluk kepada peraturan sama serta dapat dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku pelanggaran. -BH Online