Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengarahkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan syarikat terbabit industri perikanan supaya meningkatkan penyimpanan bekalan ikan sejuk beku susulan fenomena Super El Nino yang dijangka melanda rantau Asia Tenggara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kementerian mendepani masalah kekurangan bekalan makanan yang dijangka berlaku akibat fenomena berkenaan.

“Jika berlaku kekurangan ikan akibat (fenomena Super El Nino) yang dijangka Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), suhu akan cecah 40 darjah menyebabkan cuaca panas.

“Ia akan menyebabkan ikan di tepi pantai akan ke tengah laut, mungkin jumlah penangkapan nelayan kecil akan terjejas.

“Jadi kita minta LKIM dan pihak swasta yang terbabit dalam sektor perikanan supaya memperbanyakkan ikan sejuk beku.

“Jika berlaku kekurangan ikan, kita boleh lepaskan (pasarkan) ikan sejuk beku untuk mengatasi masalah bekalan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad berkata, kementerian turut menggerakkan beberapa langkah mitigasi bagi menghadapi kemungkinan kesan fenomena berkenaan, termasuk mempergiat pemantauan sumber air di kawasan sawah padi dan paras air empangan.

Katanya, bagi sektor perikanan, KPKM melalui Belanjawan 2027 akan melaksanakan beberapa langkah proaktif termasuk meningkatkan kesiapsiagaan teknologi dan memperkukuh sistem amaran awal cuaca.

“Langkah lain termasuk pengesanan lokasi menerusi aplikasi MyFSI dan teknologi penderiaan jauh, selain pelaksanaan Pelan Mitigasi Bencana Akuakultur.

“Kementerian turut melaksanakan Pelan Tindakan Perubahan Iklim Sektor Perikanan 2024-2030,” katanya. -BH Online