Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebarang kelulusan dan pelarasan peruntukan kerajaan perlu melalui prosedur kewangan ditetapkan dan direkodkan dalam sistem kerajaan, termasuk MyProjek serta Sistem Pengurusan Kewangan dan Perakaunan Kerajaan (iGFMAS).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pembayaran hanya boleh diproses selepas peruntukan disalurkan berdasarkan tuntutan dan pengesahan kerja oleh agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Arahan menteri sahaja tidak membolehkan wang terus dibelanjakan. Kelulusan dan tatacara kerajaan tetap perlu dipatuhi.

“Bagi tahun 2023 hingga 2025, pertambahan peruntukan projek Jalan Luar Bandar (JALB) dibuat melalui pindahan peruntukan dalaman tanpa melebihi siling keseluruhan bajet pembangunan tahunan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diluluskan,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian menjawab dakwaan kononnya Timbalan Perdana Menteri mempunyai kuasa mengubah dan meluluskan peruntukan sesuka hati.

Menurutnya, setiap penyelarasan peruntukan perlu melalui mekanisme Notis Perubahan (NOC) dan pindahan peruntukan, tertakluk kepada jenis perubahan serta kelulusan yang diperlukan.

Katanya, proses itu membabitkan pegawai KKDW termasuk Ketua Setiausaha, selain perbincangan dan kelulusan daripada Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan (MOF) serta Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), mengikut bidang kuasa masing-masing.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan RM300 juta yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan sebelum ini bukanlah peruntukan tambahan, sebaliknya kebenaran berbelanja.

“Ia adalah kebenaran berbelanja melalui Surat Kuasa Berbelanja (SKB) bagi menjelaskan tunggakan dan komitmen projek sebelumnya.

“Dalam bahasa mudah, jumlah peruntukan JALB bertambah melalui penyusunan semula peruntukan dalam jumlah keseluruhan yang tersedia kepada kementerian.

“Atas asas itu, pertambahan berkenaan tidak memerlukan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan yang berasingan, tertakluk kepada kelulusan dan peraturan kewangan yang berkuat kuasa sekarang,” katanya.-BH Online