PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenal pasti beberapa individu yang disyaki ada kaitan dengan penemuan 1.16 tan ketamin atas kapal milik syarikat Malaysia baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata PDRM sedang mengesan individu terbabit dan akan menjalankan tangkapan dalam masa terdekat.
“Kita akan menjalankan tangkapan secepat mungkin. Kemungkinan hari ini ataupun esok. Kita perlu membuat siasatan secara terperinci supaya tindakan kita selaras dengan kehendak undang-undang.
“Individu-individu terbabit, polis sudah kenal pasti. Ketika ini, kami sedang cuba mengesan di mana kedudukan mereka dan sebagainya. Ini termasuk syarikat-syarikat berkaitan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati kapal berkenaan bertolak dari Johor ke Pelabuhan Klang, Selangor sebelum menuju ke Laut Andaman yang dipercayai menjadi lokasi berlakunya pemindahan dadah berkenaan secara kapal ke kapal.
Katanya, itu satu kemungkinan yang sedang disiasat PDRM bersama agensi penguatkuasaan tetangga termasuk Indonesia, Laos dan negara-negara Asia Tenggara lain yang berkaitan.
“Mungkin ada berlaku perkara-perkara yang di luar pengetahuan kita. Mungkin berlaku tindakan ship-to-ship transfer (pemindahan kapal ke kapal ) semasa berada di keadaan itu (di Laut Andaman).
“Jadi tindakan kapal berkenaan berpusing balik memasuki perairan Indonesia memberi kelebihan untuk Indonesia menjalankan siasatan dan melakukan penahanan.
“Kita akan berusaha dan mengadakan kolaborasi berterusan dengan pihak Indonesia bagi memastikan bahawa mereka yang terbabit akan kita ambil tindakan dari sudut undang-undang untuk kita dakwa,” katanya.
Menurutnya, masih banyak maklumat yang perlu diperoleh bagi membantu siasatan termasuk isu membabitkan pemilikan kapal kerana ia membabitkan jumlah transaksi dadah yang begitu besar.
Terdahulu, media melaporkan kapal tangki MT Global 168 yang ditahan pihak berkuasa Indonesia bersama 1.16 tan ketamin, disahkan milik sebuah syarikat berdaftar di Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pengesahan itu diperolehi hasil semakan terhadap pemilikan kapal berkenaan.
Katanya, kapal itu dimiliki oleh syarikat berdaftar di Malaysia, dengan ibu pejabat di Johor Bahru dan mempunyai dua pengarah warga tempatan berusia lingkungan 40-an dan 50-an yang tidak mempunyai rekod lampau.
Menurut laporan media Indonesia yang memetik Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral Suyudi Ario Seto berkata, kapal itu berlepas dari lokasi penyelenggaraan di Pasir Gudang, Johor, pada September lalu.
Kapal berkenaan kemudian singgah di Pelabuhan Klang untuk mengisi bekalan air dan bahan api sebelum meneruskan pelayaran ke Laut Andaman, Thailand.
Suyudi dilaporkan berkata, kapal itu dipercayai menerima muatan ketamin melalui pemindahan barang antara kapal di Laut Andaman.
Pihak berkuasa Indonesia turut mengesan kapal berkenaan mematikan Sistem Pengenalan Automatik (AIS) selama tiga hari 17 jam ketika berada di perairan berkenaan.
Selasa lalu, pasukan penguat kuasa Indonesia memintas kapal berkenaan di perairan Tanjung Balai Asahan, Sumatera Utara, sebelum membawanya ke Pelabuhan Belawan.
Pemeriksaan menemukan 58 guni mengandungi 1,160 bungkusan ketamin hidroklorida seberat kira-kira 1.16 tan yang dianggarkan bernilai 3.48 trilion rupiah (RM785 juta). -BH Online
