Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Negeri Johor menjangkakan 26,000 peluang pekerjaan ditawarkan kepada golongan muda di negeri itu tahun ini, susulan pertumbuhan pesat ekonomi serta kemasukan pelaburan bernilai tinggi.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata unjuran itu menunjukkan peningkatan yang konsisten dari tahun ke tahun, hasil pelbagai inisiatif strategik termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta penganjuran karnival kerjaya berskala besar seperti Johor Talent Development Council (JTDC) Mega Job Fair.

Beliau berkata, trend penawaran pekerjaan berkualiti di Johor juga terus melonjak ketara dengan 15,000 peluang pekerjaan dicatatkan pada 2022 sebelum meningkat kepada 17,000 pekerjaan (2024) dan 25,000 pekerjaan tahun lalu.

“Sebagai perbandingan, menerusi JTDC Mega Job Fair sahaja, sebanyak 3,000 peluang pekerjaan disediakan dengan 30 peratus daripadanya (1,000 peluang pekerjaan) adalah kategori gaji premium,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan JTDC Mega Job Fair di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Iskandar Puteri di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata, pencapaian cemerlang ekonomi Johor turut disokong oleh rekod pertumbuhan lapan peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang tertinggi dalam sejarah negara selain kutipan pelaburan mencecah RM110 bilion.

Beliau berkata, angka-angka pertumbuhan makroekonomi itu perlu diterjemahkan secara langsung supaya semua rakyat khususnya golongan muda serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dapat merasai limpahan kemakmuran tersebut secara nyata.

“Angka-angka ini tidak boleh sekadar cantik di atas kertas, tetapi rakyat mesti merasai dan menikmati pembangunan yang berlaku di negeri ini,” katanya.

Sejajar dengan usaha memperkasakan modal insan, Onn Hafiz berkata Kerajaan Negeri Johor turut menekankan kepentingan program peningkatan kemahiran semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) supaya tenaga kerja tempatan memenuhi standard industri bergaji tinggi yang ditawarkan oleh sektor pembuatan canggih, logistik, tenaga, serta pusat data. -BH Online