MELAKA: Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) menggariskan 35 strategi dan 429 ikhtiar sara hidup merentasi lapan kluster bagi memperkukuh usaha kerajaan menangani kos sara hidup serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Pelan itu dirangka sebagai kerangka tindakan nasional bagi memastikan usaha menangani kos sara hidup dilakukan secara lebih tersusun menerusi pendekatan menyeluruh merangkumi kerjasama kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata menerusi pelan berkenaan, kerajaan menetapkan visi meningkatkan kualiti dan taraf hidup rakyat serta menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan asas.
Katanya, pelan itu turut menyokong agenda Malaysia MADANI dan Kerangka Ekonomi MADANI untuk menaikkan lantai ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat selari Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
“Bagi mencapai matlamat itu, fokus kerajaan bukan hanya menstabilkan harga barangan, malah memperkukuh usaha meningkatkan pendapatan rakyat susulan pergerakan gaji dan upah tidak seiring kadar inflasi.
“Antara langkah dilakukan ialah pelarasan gaji penjawat awam menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang memulakan fasa pertama pada Disember 2024 dengan implikasi fiskal tambahan RM18 bilion.
“Kerajaan juga menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebelum satu lagi semakan kepada RM2,000 secara bersasar bagi 2027 yang diumum dalam Belanjawan 2027,” katanya pada sesi taklimat media Program Peluncuran Pelan
Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30), hari ini.
Armizan berkata, 429 ikhtiar terkandung dalam NCLAP30 merangkumi penerusan dan penambahbaikan inisiatif sedia ada termasuk komitmen fiskal kerajaan serta pengenalan langkah baharu bagi menangani cabaran kos sara hidup.
Katanya, pelan itu adalah dinamik dan akan ditambah baik dari semasa ke semasa mengambil kira perkembangan domestik serta ketidaktentuan geopolitik dan geoekonomi.
“Dari segi tadbir urus, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan memantau pelaksanaan berkenaan dengan KPDN bertindak sebagai sekretariat.
“Peranan NACCOL juga diperkasa supaya tidak hanya meneliti inisiatif baharu dan isu berbangkit, malah pelaksanaan semua ikhtiar sara hidup merentasi kementerian dan agensi kerajaan,” katanya.
Menurut beliau, keputusan memperkukuh peranan NACCOL dibuat dalam mesyuarat majlis dipengerusikan perdana menteri pada 29 September lalu dan diangkat dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Langkah itu bagi memastikan semua ikhtiar dilaksanakan secara teratur selain mengurangkan ketirisan serta mengoptimumkan keberhasilan usaha kerajaan menangani kos sara hidup.
“NCLAP30 diharap menjadi rujukan semua pihak dalam menyelaras pelaksanaan strategi nasional berkenaan dan memastikan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya. -BH Online

