Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyimpan hasrat untuk melihat bekas pelajar maahad tahfiz berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran, daripada mana-mana institusi pendidikan, menjawat jawatan Perdana Menteri pada masa depan.

Ahmad Zahid berkata, impian itu diharap dapat direalisasikan menerusi institusi pendidikan tahfiz, khususnya rangkaian di Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Ulul Albab Melaka, yang berjaya melahirkan generasi huffaz berilmu dan berpotensi memimpin negara.

“Cita-cita saya satu ketika nanti, Perdana Menteri Malaysia adalah seorang bergelar al-hafiz atau al-hafizah daripada mana-mana maahad tahfiz seluruh negara, tetapi hasrat saya biarlah datang daripada Imtiaz (SM Imtiaz Ulul Albab) kita.

“Ini kerana pelajar tahfiz mampu melangkah lebih jauh dalam pelbagai bidang profesional, termasuk perubatan, kejuruteraan dan keilmuan, tanpa mengetepikan penguasaan al-Quran,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Huffaz dan Apresiasi Kecemerlangan Ulul Albab, di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah di sini, hari ini.

Seramai 40 pelajar SM Imtiaz yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran diraikan pada majlis itu bersama pelajar cemerlang dalam Sijil Persekolahan Malaysia (SPM) 2025, kokurikulum dan kepimpinan.

Yang turut hadir, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Md Azhan Samat dan Mufti Negeri, Datuk Abdul Halim Tawil.

Ahmad Zahid yang juga pengasas SM Ulul Albab Melaka berkata, golongan huffaz perlu diberikan peluang dan sokongan sewajarnya supaya mereka bukan sahaja berjaya dalam bidang akademik dan kerjaya, malah berupaya menyumbang kepada pembangunan ummah serta negara.

Beliau berharap hasrat melahirkan pemimpin negara daripada kalangan huffaz itu menjadi kenyataan, sekali gus membawa nilai al-Quran dalam pentadbiran dan pembangunan negara.

“Ketepikanlah warna biru, hijau atau apa saja (fahaman politik), kita membawa panji-panji al-Quran sebagai pemimpin negara, itu hasrat kita semua, insya-Allah,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, kepemimpinan berteraskan nilai al-Quran diharap dapat membantu membina negara aman, damai dan sejahtera serta mendapat keampunan Allah SWT.

Beliau berkata, kerajaan mengusulkan pelaksanaan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia dan penubuhan Majlis Tahfiz Negara bagi memastikan pendidikan tahfiz lebih berkualiti, kebajikan pelajar terpelihara serta membuka lebih banyak peluang masa depan kepada golongan huffaz.

Ahmad Zahid berkata, usaha itu bagi memastikan alumni tahfiz tidak berdepan kesukaran mendapatkan peluang kerjaya selepas menghabiskan bertahun-tahun di pusat pengajian dan menghafaz al-Quran.

“Saya tidak mahu alumni menghabiskan masa bertahun-tahun menghafal al-Quran, tetapi akhirnya tercari-cari peluang kerjaya kerana kelayakan mereka tidak diiktiraf sewajarnya.

“Sebab itu komitmen saya sebagai orang nombor dua di negara ini, Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) sudah dibuat ketika saya menjadi Timbalan Perdana Menteri pertama kali, bukan sekarang, kini saya teruskan dengan pewujudan Sijil Tahfiz Malaysia 2.0, Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB) dan Skim Pembiayaan Hafiz.

“Selain itu, saya juga sudah mengintegrasikan seluruh maahad tahfiz di negara kita, sama ada berdaftar atau tidak berdaftar, dan juga sekolah pondok di seluruh negara untuk mengikuti pendekatan TVET,” katanya. -BH Online