Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pelan tindakan penstabilan harga di Sabah, Sarawak dan Labuan perlu dirangka sebagai panduan utama bagi pelaksanaan langkah bersama kerajaan Persekutuan dan negeri demi memelihara kesejahteraan rakyat di ketiga-tiga wilayah berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata langkah itu penting bagi membolehkan semua pihak bersiap sedia mendepani cabaran ekonomi global serta ketidaktentuan geopolitik semasa yang memberi impak kepada harga barangan dan perkhidmatan.

“Pagi ini, saya mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penstabilan Harga di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan Bilangan 2 bagi Tahun 2026 di Bilik Persidangan ICU, Bangunan Perdana Putra.

“Sabah dan Sarawak menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2027 pada kali ini, masing-masing berjumlah RM18.7 billion dan RM16.2 billion,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Fadillah berkata, berdasarkan dokumen Belanjawan 2027, jumlah peruntukan pukal Persekutuan bagi Sabah, Sarawak mencatatkan kenaikan berbanding tahun 2026.

“Kita sangat mengharapkan Ikhtiar Menaikkan Lantai taraf hidup rakyat dalam Belanjawan 2027 dapat diterjemahkan dalam ikhtiar kita dalam penstabilan harga barangan dan perkhidmatan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

“Inisiatif penstabilan harga oleh Kerajaan Persekutuan seperti Program Jualan Rahmah dan Jualan Agro MADANI terus diperkukuhkan melalui Belanjawan 2027 pada tahun hadapan yang akan memberi manfaat lebih kepada rakyat khususnya di Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya.

Mesyuarat dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Datuk Mustapha Sakmud; Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Mojungki serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.-BH Online