Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) diarah menyediakan kertas Kabinet berhubung pendekatan terselaras bagi memperluas pelaksanaan langkah keselamatan motosikal yang sudah terbukti berkesan di peringkat nasional.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata penyediaan kertas Kabinet dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) itu perlu menyatakan keutamaan yang jelas, garis masa pelaksanaan dan hasil yang boleh diukur.

Katanya, tiga keutamaan digariskan itu perlu diberi perhatian segera dalam usaha negara merealisasikan Visi Sifar bagi mencegah kematian serta kecederaan serius akibat kemalangan.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR), berkata jalan raya mesti menjadi tempat yang lebih selamat untuk penunggang motosikal, yang mencatatkan jumlah kematian terbesar akibat kemalangan jalan raya di negara ini.

“Walaupun tanggungjawab individu amat penting, tetapi keselamatan jalan raya perlu dilaksanakan secara dua hala.

“Kita memerlukan penunggang yang bertanggungjawab, pada masa sama, kita juga mesti menyediakan jalan raya yang lebih selamat, infrastruktur yang lebih baik dan dasar yang berkesan.

“Malaysia sudah memulakan usaha ini melalui program keselamatan jalan raya dan penambahbaikan lorong motosikal, namun ia perlu diperluas melalui pelaksanaan langkah yang terbukti berkesan ke lebih banyak jalan raya berisiko tinggi di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Keselamatan Jalan Raya 2026 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Selain itu, Ahmad Zahid, berkata data keselamatan jalan raya negara yang dikumpulkan pelbagai agensi perlu diintegrasikan supaya gambaran lebih menyeluruh dapat dilihat dan tindakan lebih awal dapat diambil.

Justeru, beliau mahu semua agensi berkaitan berusaha ke arah mewujudkan satu platform risikan keselamatan jalan raya nasional yang bersepadu, dengan menghubungkan sistem sedia ada dan menterjemah perkongsian data kepada tindakan yang diselaraskan.

“Saya mengambil maklum penyelarasan antara agensi tidak sentiasa berkesan seperti yang sepatutnya. 

“Ada kalanya, maklumat tidak dikongsi, tanggungjawab bertindih dan sempadan institusi menjadi penghalang kepada kerjasama. Cukuplah setakat ini.

“Dalam hal keselamatan jalan raya, tiada mana-mana agensi yang sepatutnya menganggap dirinya lebih tinggi daripada agensi lain, dan tiada institusi yang boleh beroperasi secara bersendirian tanpa kerjasama,” katanya. -BH Online