Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi akan membentangkan cadangan keperluan penggubalan undang-undang baharu atau menambah baik peruntukan sedia ada, bagi membendung amalan ‘rent-seeking’ atau konsep ‘Ali Baba,’ ke Parlimen, tahun depan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata ketika ini terdapat Undang-undang Kecil (UUK) sedia ada di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan aktiviti Ali Baba, khususnya larangan pemindahan lesen.

Bagaimanapun katanya, kekangan undang-undang sedia ada dilihat tidak mampu membendung amalan rent-seeking.

“Kajian sedang dijalankan bagi menyediakan kerangka kawal selia dan cadangan perundangan berkaitan anti rent-seeking.

“Kajian ini turut mengambil kira pandangan pemain industri, agensi penguatkuasaan, kementerian berkaitan, kerajaan negeri serta pihak berkepentingan lain bagi memastikan pendekatan dirangka bersifat menyeluruh dan bersesuaian dengan keperluan semasa,” katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Akmal Nasrullah berkata demikian ketika menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang meminta menyatakan status terkini penggubalan rang undang-undang anti rent-seeking, sama ada dalam bentuk akta baharu mahupun pindaan akta sedia ada, bagi membanteras masalah lesen Alibaba serta garis masa membentangkan ke Parlimen.

Beliau berkata, kajian juga menunjukkan isu rent-seeking berupaya menjejaskan kecekapan sosio ekonomi negara disebabkan ketirisan di dalam pemberian lesen, kontrak, kemudahan dan sebagainya.

Katanya, proses penggubalan perundangan memerlukan penelitian mendalam bagi memastikan setiap cadangan yang dibangunkan adalah praktikal, berkesan dan boleh dilaksanakan.

“Oleh kerana isu rent-seeking merentas bidang kuasa beberapa kementerian dan agensi, penyelarasan serta persetujuan bersama turut diperlukan sebelum sesuatu pendekatan dimuktamadkan.

“Seterusnya, cadangan berkenaan perlu melalui proses pertimbangan dan kelulusan secara berperingkat, termasuk di peringkat Jawatankuasa Perancangan dan Pembangunan Negara (JPPN) dan Jemaah Menteri, sebelum dibentangkan di Parlimen,” katanya. -BH Online