KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,726 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai membabitkan 199,643 unit rumah dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM158.16 bilion berjaya diselamatkan, sehingga Ogos lalu.
Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 147 projek berjaya dipulihkan daripada status sakit kepada lancar, membabitkan 29,900 unit rumah dengan GDV sebanyak RM40.92 bilion.
Katanya, sebanyak 1,542 projek’sakit berjaya disiapkan sepenuhnya sehingga memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), membabitkan 163,621 unit rumah dengan GDV sebanyak RM115.74 bilion.
“Bagi projek berstatus terbengkalai pula, sebanyak 37 projek berjaya dipulihkan, membabitkan 6,122 unit rumah dengan GDV berjumlah RM1.504 bilion, sama ada melalui penyiapan fizikal projek mahupun penyelesaian yang memberi manfaat kepada pembeli rumah,” katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang meminta menyatakan pelan alternatif kerajaan menyelamatkan projek Residensi Wilayah Pangsapuri Salak Selatan jika Scheme of Arrangement oleh Pengurus Kehakiman gagal, termasuk pertimbangan melantik pemaju penyelamat bagi memastikan 1,120 unit kediaman itu berjaya disiapkan.
Kor Ming berkata, isu pengurusan projek sakit dan terbengkalai tidak boleh dipandang mudah.
“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaksanakan reformasi perumahan MADANI termasuk Sistem Pengurusan Berintegrasi Perumahan (HIMS), Sistem Maklumat Perumahan Negara (TEDUH) dan pelbagai langkah lain yang akan diperkenalkan akhir tahun ini.
“Ini supaya ia selaras dengan bidang kuasa kementerian, serta tertakluk kepada proses untuk memastikan hak kepentingan semua pihak dapat dilindungi,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (PH – Bukit Bintang) berhubung jumlah projek sakit dan terbengkalai di Kuala Lumpur, Kor Ming berkata, sehingga 31 Ogos lalu, terdapat tujuh projek perumahan swasta terbengkalai di Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur.
“Lima kategori dalam perancangan, satu dalam kategori sedang dipulihkan dan satu kategori statik.
“Bagi projek sakit terdapat 12 perumahan membabitkan 6,102 pembeli rumah,” katanya.-BH Online
