Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pengiktirafan antarabangsa terhadap Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) mesti diterjemahkan kepada keyakinan komersial yang lebih tinggi, peluang pelaburan lebih kukuh dan manfaat ekonomi bermakna untuk negara.

Gesaan itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memandangkan perniagaan dan pelabur memerlukan kepastian undang-undang, kewibawaan institusi dan keyakinan bahawa pertikaian dapat diselesaikan secara adil dan cekap.

Katanya, penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) menjadi tonggak penting perdagangan antarabangsa dan Malaysia mesti terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab global ADR yang dipercayai.null

“Pengiktirafan antarabangsa terhadap AIAC yang semakin meningkat amat menggalakkan, termasuk perkembangan positif yang dicerminkan dalam laporan Global Arbitration Review (GAR) dan Akademi Penyelesaian Pertikaian Antarabangsa Singapura.

“Namun, pengiktirafan antarabangsa itu juga mesti diterjemahkan kepada keyakinan komersial yang lebih tinggi, peluang pelaburan lebih kukuh serta manfaat ekonomi bermakna untuk Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucapan khas pada AIAC Asia ADR Week 2026 di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kula Segaran dan Presiden Mahkamah Rayuan Malaysia, Datuk Seri Abu Bakar Jais.

Azalina berkata, kerajaan komited menyokong pembangunan AIAC sambil menghormati kebebasan dan sifat berkecualinya.

Katanya, penubuhan Mahkamah Timbang Tara AIAC dan keistimewaan serta imuniti yang diperuntukkan di bawah perjanjian negara tuan rumah memperkukuh komitmen itu.

“Pembaharuan utama berkenaan menyumbang kepada pengukuhan Malaysia sebagai bidang kuasa yang dipercayai, sekali gus memberi keyakinan kepada perniagaan dan pelabur di seluruh dunia bahawa pertikaian komersial mereka dikendalikan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, ekosistem timbang tara yang dipercayai merangkumi kemudahan, prasarana undang-undang, sokongan badan kehakiman, kebebasan dan kesiapsiagaan institusi serta dasar kerajaan yang mesra perniagaan.

Katanya, semua elemen itu menyokong aktiviti perniagaan rentas sempadan.

“Cita-cita kita mesti jelas, Malaysia bukan sekadar perlu mengambil bahagian dalam landskap timbang tara global, malah mesti berhasrat membentuk masa depannya,” katanya.

Dalam pada itu, Azalina turut mengalu-alukan Ikrar Jubli AIAC yang menggariskan komitmen utama pusat itu bagi tempoh 50 tahun akan datang untuk mempertahankan prinsip penubuhannya, memperkukuh legasi institusi dan meneruskan pencapaian yang memberi manfaat kepada industri ADR.

“Seiring dengan visi berani AIAC untuk dekad akan datang, saya turut berbesar hati mengetahui matlamatnya untuk mencapai kebebasan dan kemampanan kewangan menjelang ulang tahun ke-50 pusat ini.

“Dengan usaha strategik, saya yakin matlamat ini mampu dicapai selepas menyaksikan perkembangan AIAC selama bertahun-tahun, termasuk perubahan dan kemajuan ketara sepanjang dua tahun kebelakangan ini,” katanya. -BH Online