KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-273 di Istana Negara yang dipengerusikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Turut berangkat Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Berangkat sama Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.
Mesyuarat itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Rustam, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib.
Selain itu, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri, serta Timbalan Premier Sarawak turut hadir pada mesyuarat berkenaan.
Kali terakhir mesyuarat itu diadakan pada 11 dan 12 Feb lepas, dipengerusikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.-BH Online
