Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan hanya boleh memberikan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang ditahan di Jepun bersama lima kilogram kokain di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Sabtu lalu, jika diperlukan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kerajaan menyerahkan urusan berkaitan kes berkenaan kepada pihak berkuasa negara itu.

Tegasnya, Malaysia tidak boleh sewenang-wenangnya mendapatkan maklumat mengenai individu yang ditahan di Jepun berikutan dasar privasi dan kerahsiaan negara itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika keluarga individu terbabit mahu pihak kedutaan mengadakan lawatan konsular bagi memastikan kebajikan suspek terpelihara, mereka perlu mengemukakan permohonan bertulis kepada pihak berkuasa Jepun.

“Kerajaan menegaskan tidak boleh mencampuri urusan undang-undang negara lain, sebaliknya perlu menghormati undang-undang yang berkuat kuasa di negara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Pemasangan Sistem Fotovolta Suria Tersambung Grid (GCPV) di Bangunan Kerajaan di Kementerian Luar, di sini hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan lima rakyat Malaysia ditahan kerana menyembunyikan lima kilogram kokain dalam pelapik kasut di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo, Sabtu lalu.

Dilaporkan kumpulan itu berlepas dari Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk melancong.

Kumpulan itu terdiri enam individu berusia 19 hingga 26 tahun, namun hanya lima daripada mereka, iaitu dua lelaki dan tiga perempuan ditahan, manakala seorang lagi sudah pulang ke Malaysia. 

Mohamad berkata, lawatan konsular bagi memeriksa kebajikan individu yang ditahan juga memerlukan prosedur ditetapkan pihak berkuasa Jepun dipatuhi. -BH Online