DATUK Seri Anwar Ibrahim yakin Malaysia akan mendapat manfaat besar dengan menjadi sebahagian daripada destinasi pelaburan masa depan ADQ, iaitu syarikat pelaburan berfokuskan kelestarian yang berpangkalan di Abu Dhabi.
Perdana Menteri berkata pelaburan itu akan memasarkan Malaysia sebagai pangkalan atau hab ADQ ke pasaran ASEAN.
Perkara itu dinyatakan Anwar yang juga Menteri Kewangan selepas pertemuan dengan Menteri Pelaburan UAE merangkap Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ADQ
Mohamed bin Hassan Al Suwaidi.
Perdana Menteri kini mengetuai delegasi Malaysia dalam rangka lawatan kerja rasmi ke UAE bermula semalam.
Anwar berkata, hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia-UAE sememangnya kukuh dari dahulu lagi.
Justeru beliau berharap pertemuan itu bakal menguatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.
“Saya yakin MITI dan agensinya MIDA serta MATRADE juga sedang bertiwikrama dalam menambahbaik landskap pelaburan dan perdagangan di Malaysia.
“Sekali lagi, terima kasih H.E. Mohamed bin Hassan Al Suwaidi dan seluruh pasukan atas kepercayaan dan keyakinan anda terhadap Malaysia,” katanya. – Media Perpaduan