Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

CAJ tambahan yang mungkin dikenakan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) terhadap pengguna yang menaik taraf langganan kepada rangkaian 5G masih belum diputuskan.

Perkara itu disahkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang berkata, pihaknya belum memutuskan sama ada caj tambahan itu akan diketepikan (waive) atau sebaliknya.

Katanya, pihaknya maklum mengenai kegusaran orang ramai sekiranya perlu membayar caj tambahan bagi mendapatkan perkhidmatan 5G.

“Memang ada permintaan supaya tiada caj dikenakan sekiranya pengguna naik taraf perkhidmatan (kepada 5G) sebagaimana ketika 4G dahulu.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) turut menyuarakan mengenai isu ini.

“Sehubungan itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Kementerian Komunikasi dan Digital) sudah berbincang dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia (SKMM) serta pengendali rangkaian mudah alih (MNO) mengenainya keputusan yang mungkin dimaklumkan dalam tempoh beberapa minggu lagi,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Rangkaian 5G Persendirian Petronas hari ini .

Ogos lalu, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memberi jaminan liputan 5G tidak akan membebankan rakyat dengan harga yang tinggi.

Sebelum ini, terdapat laporan menyatakan beberapa MNO mengenakan caj tambahan bagi peralihan kepada 5G serta tawaran harga yang tinggi. -Media Perpaduan