Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Malaysia dan Mesir berhasrat memperluas kerjasama dalam bidang pendidikan melangkaui pengajian Islam, merangkumi kejuruteraan, perubatan, elektrik dan elektronik (E&E), teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kedua-dua negara perlu memperluas kerjasama pendidikan meliputi pelbagai disiplin, selaras peningkatan permintaan terhadap kepakaran dalam bidang teknikal dan profesional.

“Saya memberitahu Presiden (El-Sisi) bahawa pendidikan di Mesir bukan hanya tertumpu kepada Universiti Al-Azhar yang kekal penting dalam pendidikan Islam, tetapi negara itu turut mengembangkan bidang elektrik dan elektronik, teknologi digital, AI, kejuruteraan dan perubatan.

“Ramai doktor kita mendapat latihan di Mesir. Saya tidak mahu timbul tanggapan pengajian Islam sahaja yang penting, dan walaupun penting, kerjasama pendidikan perlu turut merangkumi bidang pengajian lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi di sempena Lawatan Negara pemimpin terbabit ke Malaysia di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Anwar turut mengiktiraf sumbangan Mesir dalam kerjasama hal ehwal Islam, termasuk sokongan terhadap penubuhan sebuah pusat bahasa Arab di Malaysia.

“Malaysia akan meneruskan kerjasama dengan Mesir melalui agensi dan kementerian berkaitan bagi memperkukuh kerjasama dalam hal ehwal Islam,” katanya.

Anwar turut menggesa kerjasama pertahanan diperkukuh termasuk dalam aspek keperluan pertahanan dan latihan bersama, meskipun kedua-dua negara dipisahkan jarak geografi.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat dua hala bagi menilai kemajuan kerjasama serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

El-Sisi mengadakan Lawatan Negara selama dua hari ke Malaysia bermula semalam atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. -BH Online