Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

BACHOK: Penguatkuasaan akta tidak konsisten dan kelemahan prosedur perolehan antara faktor sebanyak 568 kes tangkapan rasuah membabitkan pegawai awam direkodkan pada 2024. 

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata kes itu yang tertinggi dicatatkan sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap tahap integriti dalam pentadbiran awam negara.

Pada masa sama, katanya, masih wujud mentaliti “pintu belakang” serta amalan “Little Napoleon” demi mengaut keuntungan peribadi.

“Statistik tangkapan kes rasuah SPRM membabitkan pegawai awam menunjukkan trajektori peningkatan yang membimbangkan, dengan kes tertinggi direkodkan pada tahun 2024 iaitu sebanyak 568 kes,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Perdana Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam 2026 bertemakan “Pembelajaran Sepanjang Hayat: Memperkasa Perkhidmatan Awam Masa Hadapan” di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok, hari ini.

Mengulas mengenai perkara berkenaan pada sidang media, 

Wan Ahmad Dahlan berkata, kerajaan perlu memperkemaskan tatakelola organisasi dalam usaha menangani isu rasuah membabitkan perkhidmatan awam yang disifatkan membimbangkan.

Katanya, perkara itu selaras dengan penekanan kerajaan MADANI yang mahu aspek tadbir urus diperkukuhkan.

“Sebenarnya keadaan ini amat membimbangkan kerana inilah yang ditekankan oleh kerajaan MADANI di mana kita perlu memperkemaskan lagi tatakelola dalam organisasi kita.

“Insya-Allah, jika usaha berterusan ini dilaksanakan, saya penuh yakin bahawa isu terkait dengan rasuah ini akan dapat kita kurangkan dari semasa ke semasa. 

“Namun perlu ada satu tekad yang jelas bahawa kita menolak kepada perkara ini,” katanya.

Pada masa sama katanya, semua penjawat awam supaya sentiasa mematuhi tatakelola yang ditetapkan. -BH Online