Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BENTONG: Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karak yang bernilai RM72.1 juta mampu menampung sehingga 500 klien, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata projek itu merangkumi pembinaan dan menaik taraf blok pentadbiran, blok rawatan, dewan serba guna, 10 blok asrama, blok lawatan keluarga, blok kaunseling, blok Hal Ehwal Penghuni (HEP) dan latihan vokasional serta tiga blok bengkel.

“Dari aspek keselamatan, projek ini dilengkapi balai kawalan, menara kawalan, pagar antipan­jat setinggi 4.8 meter dan 5.2 meter serta sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang dipantau secara berpusat,” katanya.

Nanta berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Siap bagi projek membina dan meroboh serta menaik taraf PUSPEN Karak di sini hari ini.

Nanta berkata projek itu bermula pada 6 Ogos 2021 dan siap pada 27 Julai 2026 dengan peningkatan kos kepada RM72.1 juta daripada peruntukan asal RM68.8 juta berikutan beberapa kekangan dan masalah sepanjang pelaksanaannya.

“Paling penting ialah projek ini akhirnya dapat disiapkan dengan sempurna dan kini berada dalam tempoh tanggungan kecacatan,” katanya.

Nanta berkata projek itu dilaksanakan secara konvensional dengan reka bentuk disediakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghargai peranan JKR memantau dan memudah cara pelaksanaan projek tersebut sehingga dapat disiapkan.

Beliau berkata kemudahan baharu itu memberikan dorongan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), khususnya dalam memperkukuh usaha pemulihan dan rawatan penagihan dadah.– BERNAMA