Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SAMBUTAN hangat ramai pengundi dalam setiap ceramah gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) diharapkan dapat diterjemahkan untuk memenangkan Datuk Amizar Abu Adam pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai, Sabtu ini.

Harapan itu disuarakan Datuk Seri Ahmad Maslan yang berkata, sambutan masyarakat Cina terhadap kempen serta ceramah PH dan BN amat baik sekali gus memberi gambaran positif menjelang hari pengundian.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu memberi contoh, ceramah Kerajaan Perpaduan di Pekan Telemong dekat Bentong malam tadi mendapat sambutan dengan kehadiran ramai masyarakat Cina.

Ceramah itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Saya berceramah bersama pimpinan PH dan MB Pahang Datuk Seri Wan Rosdy. Ramai masyarakat Cina hadir.

“Petunjuk yang baik dan semoga ramai juga keluar mengundi BN Sabtu ini. Terima kasih awal kepada mereka yang mengundi BN dan Kerajaan Perpaduan,” kata Timbalan Menteri Kewangan itu menerusi hantaran di Facebooknya.

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Datuk Amizar Abu Adam (BN), Kasim Samat (Perikatan Nasional) dan Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Pelangai, Pahang pada 7 Oktober ini.

Kerusi DUN Pelangai, diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu. – Media Perpaduan