Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Seramai 12,629 pekerja warga Thailand direkodkan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) aktif dalam sektor masakan dan perkhidmatan restoran sehingga 15 September lalu. sekali gus menafikan dakwaan jumlah mereka mencecah 200,000 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 12,541 bekerja sebagai tukang masak, iaitu 7,559 lelaki dan 4,972 wanita.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata seramai 43 warga Thailand bekerja sebagai krew restoran, diikuti pekerja kedai makan (38) dan pekerja restoran (tujuh).

“Dakwaan terdapat 200,000 warga Thailand bekerja di kira-kira 5,000 restoran tomyam di Malaysia tidak dapat disahkan.

“Bagaimanapun, Imigresen akan terus menjalankan penguatkuasaan terhadap majikan atau premis menggaji warga asing tanpa pas atau permit kerja sah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zakaria berkata, seramai 2,316 warga Thailand ditahan dalam operasi penguatkuasaan kerana menyalahgunakan pas mengikut Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, bagi tempoh 2025 hingga 15 September lalu.

Katanya, operasi Imigresen kini bukan sahaja tertumpu kepada warga asing tanpa dokumen, malah menyasarkan majikan, ejen serta individu melindungi atau mengambil kesempatan terhadap pendatang tanpa izin (PATI).

“Majikan menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Pada 1 Oktober lalu, pihak berkuasa pembangunan wilayah Selatan Thailand mendakwa lebih 100,000 warga Thailand bekerja di restoran tomyam di Malaysia tidak mempunyai permit kerja sah.

Pemangku Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand (SBPAC), Chonthanya Saengphum mendakwa kira-kira 200,000 warga Thailand bekerja di sekitar 5,000 restoran tomyam di Malaysia, dengan lebih 50 peratus dikatakan tidak memiliki permit kerja sah.-BH Online