KUALA LUMPUR: Malaysia hanya mempunyai tempoh kira-kira 27 tahun untuk membuat persiapan menyeluruh bagi menghadapi status negara tua menjelang 2048, iaitu fasa peralihan yang jauh lebih pantas berbanding beberapa negara maju.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata tempoh singkat itu memberi ruang masa terhad kepada kerajaan untuk memperkukuh kesiapsiagaan negara berbanding Perancis yang mengambil masa 115 tahun, Australia (73 tahun) dan Amerika Syarikat (69 tahun).
Beliau berkata Malaysia secara rasmi mencapai status negara menua pada 2021 apabila populasi penduduk berumur 65 tahun dan ke atas mencecah tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan populasi.
“Berdasarkan unjuran semasa, Malaysia dijangka mencapai status ‘negara tua’ pada 2048 apabila peratusan tersebut meningkat kepada 14 peratus dan seterusnya menjadi ‘negara sangat tua’ menjelang 2060 apabila mencecah 20 peratus.
“Pengalaman penuaan negara juga berdepan cabaran unik kerana tahap pendapatan kita lebih rendah berbanding negara maju ketika mereka melalui fasa peralihan yang sama,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Akmal Nasrullah menjawab soalan Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) yang ingin tahu status Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (NAB) 2025-2045 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat dan kesiapsiagaan kerajaan dalam mendepani cabaran demografi masyarakat menua.
Mengulas lanjut, beliau berkata perubahan demografi itu menimbulkan pelbagai cabaran termasuk pertumbuhan tenaga kerja yang semakin perlahan, ketidakcukupan simpanan persaraan serta peningkatan mendadak keperluan perkhidmatan kesihatan dan penjagaan warga emas.
Bagi menangani isu berkenaan, beliau berkata NAB kini berada pada fasa akhir pertimbangan kerajaan sebelum Kertas Putih Persiapan Menuju Negara Tua dibentangkan di Dewan Rakyat dalam persidangan kali ini.
Menjawab soalan tambahan Dr Zaliha berhubung cadangan mewujudkan kawasan rintis rejuvenasi daerah di Parlimen Sekijang yang kini mencatatkan 10.8 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas, Akmal Nasrullah berkata kerajaan bersedia mempertimbangkan pelaksanaan projek itu di lokasi terkesan.
Beliau mengakui trend migrasi golongan muda ke bandar besar turut mempercepatkan proses penuaan di sesuatu lokaliti dan pendekatan pengurusan bandar serta perancangan pelancongan rekreasi warga emas perlu diteliti semula secara khusus.
Menjawab soalan tambahan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) berhubung peranan belia, Akmal Nasrullah berkata silver economy atau ekonomi warga emas berupaya membuka peluang perniagaan dan pekerjaan baharu kepada golongan muda menerusi industri penjagaan, teknologi kesihatan serta perkhidmatan digital.
Justeru, beliau berkata Kementerian Ekonomi bersama Jabatan Perangkaan (DOSM) dan agensi berkaitan sedang merangka indikator khusus bagi memastikan sumbangan silver economy dapat diukur secara tepat terhadap Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). -BH Online

