GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, sedang menyiasat dakwaan beberapa kenderaan mengalami masalah selepas mengisi bahan api di stesen minyak berhampiran Batu Kawan.
Jurucakap KPDN Pulau Pinang berkata pihaknya mengambil maklum mengenai dakwaan itu dan menghantar pasukan bagi menjalankan siasatan.
“Pihak KPDN Negeri Pulau Pinang telah mengambil maklum berkenaan dakwaan berlaku masalah pada kenderaan selepas mengisi minyak di stesen minyak, berdekatan Batu Kawan.
“KPDN Pulau Pinang akan menghantar satu pasukan untuk meneliti perkara ini dan akan berkongsi kenyataan media selepas itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beberapa hantaran di media sosial tular pada Sabtu apabila pengguna mendakwa kenderaan mereka mengalami masalah termasuk gagal dihidupkan selepas mengisi minyak di beberapa stesen minyak di sekitar Pulau Pinang.
Hantaran itu turut mendakwa masalah berkenaan disyaki berpunca daripada bahan api bercampur air, namun perkara itu belum disahkan oleh pihak berkuasa.– BERNAMA
